Jika anda kerap menggunakan pengangkutan udara, khususnya kapal terbang, anda mungkin pernah melihat ada penumpang lain yang menanggalkan kasut ketika di dalam pesawat.
Boleh jadi juga, anda salah seorang daripada mereka yang mempunyai tabiat sedemikian. Tindakan itu mungkin didorong oleh keinginan untuk menikmati perjalanan, terutamanya jarak jauh, dengan lebih selesa.
Bagaimanapun, berdasarkan perkongsian daripada seorang bekas kru penerbangan, perbuatan tersebut mungkin mempunyai risiko dan berbahaya.
Lalu, anda mungkin terfikir, kenapa perbuatan yang remeh, seperti menanggalkan kasut boleh mengundang perkara yang tidak diingini, kan?
Selain boleh menyebabkan penumpang lain merasa tidak selesa dengan bau kaki anda, kasut juga sebenarnya merupakan salah satu barang penting sekiranya kapal terbang berdepan situasi cemas.
Menurut bekas kru penerbangan tersebut, amat penting untuk tidak menanggalkan kasut dalam penerbangan biarpun perkara tersebut tidak diselitkan di dalam buku panduan keselamatan.
Ketika situasi kecemasan, ruang di dalam kabin pesawat dan tanah mungkin terjejas serta permukaan menjadi tidak rata. Tanpa kasut, penumpang mungkin sukar untuk bergerak dengan pantas sekaligus meletakkan keselamatan diri dalam risiko yang lebih besar.
Bayangkan, kaki anda terpaksa memijak permukaan kawasan yang mengandungi kaca, api dan serpihan logam. Selain menyukarkan pergerakan, risiko untuk mengalami kecederaan serius yang lain juga meningkat.
Dalam situasi cemas, beberapa saat yang terbuang mungkin menjadi penentu hidup atau mati. Apatah lagi dalam keadaan pesawat yang sarat penumpang, situasi huru-hara boleh menyebabkan banyak masa berharga terbuang.
Oleh sebab itu, jika anda menaiki kapal terbang tanpa mengira penerbangan domestik ataupun antarabangsa, pastikan anda sentiasa memakai kasut walaupun anda tidak selesa.
Anda boleh memakai selipar atau sandal jika anda benar-benar perlu membiarkan jari kaki anda bernafas. Walaupun tidak bertutup sepenuhnya, sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada berkaki ayam.
Selain itu, anda juga perlu mematuhi segala arahan yang diberikan oleh kru penerbangan, khususnya berkenaan prosedur keselamatan.
Baca juga: Salahguna bahagian peribadi wanita, Produk tuala wanita didesak tarik balik iklan