Sebuah karya seni ikonik berjudul Untitled – atau segelintir netizen menggelarnya seperti bendera negeri Perlis – dari pelukis terkenal Amerika, Mark Rothko, bakal menjadi tumpuan dunia seni apabila dilelong di Sotheby’s Hong Kong pada 8 November ini.
Nilai lukisan ini dianggarkan mencecah antara US$30 juta (RM126 juta) hingga US$45 juta (RM189 juta), kata laporan Malay Mail.
Ini merupakan kali pertama sebuah lukisan minyak Rothko akan dilelong di Asia.
Untitled (Yellow and Blue), yang kelihatan seperti bendera Perlis pernah dimiliki oleh ahli perniagaan kontroversi Malaysia, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Lukisan tersebut menjadi sebahagian daripada koleksi seni mewah Jho Low sejak tahun 2013, sebelum pihak Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memerintahkan beliau untuk menyerahkan aset seni tersebut awal tahun ini, susulan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Karya ini akan dipamerkan di Sotheby’s Maison, sebuah ruang pameran seni seluas 24,000 kaki persegi yang terletak di Landmark Chater Mall, daerah Central, Hong Kong, bermula Jumaat ini sehingga 25 September.
Bagi para peminat seni dan karya Rothko, pameran ini adalah peluang keemasan mereka untuk melihat salah satu lukisan paling berharga dalam koleksi seni moden dan kontemporari.
Lukisan Untitled (Yellow and Blue) ini mempunyai sejarah yang cukup menarik.
Pada asalnya, ia dimiliki oleh pasangan dermawan Amerika, Paul dan Bunny Mellon, yang membeli karya tersebut pada awal 1970-an selepas kematian Rothko.
Ia kemudian dijual secara tertutup kepada Francois Pinault, seorang jutawan mewah dari Perancis yang juga pemilik rumah lelong terkenal Christie’s.
Lukisan ini kali terakhir dilelong pada tahun 2015 di Sotheby’s New York dengan harga US$46.5 juta (RM195 juta), seperti yang dilaporkan oleh Artnet Price Database.
Namun, apabila Jho Low terlibat dalam skandal 1MDB, ia menjadi sebahagian daripada bahan rampasan oleh DoJ, bersama dengan karya-karya seni lain dari seniman hebat seperti Claude Monet dan Andy Warhol.
Lukisan ini akan dipaparkan dalam lelongan seni Moden dan Kontemporari pada 8 November di Sotheby’s Hong Kong, dan ia dijangka menarik minat para kolektor seni antarabangsa.