Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan sedia disiasat dan berhadapan dengan tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) total lockdown dalam satu kejadian di Juru, Pulau Pinang.
Menurutnya, beliau akan memberi keterangan berhubung dakwaan memandu uji kenderaan, kepada polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang petang semalam.
“Saya akan serahkan kes ini kepada polis, mungkin (saya boleh sahkan) petang ini polis akan datang untuk ambil statement saya, (berhubung) apa yang berlaku, saya akan bagi statement (kepada pihak) polis.
“Saya serah kepada polis… kalau polis dapati apa yang telah terjadi itu satu kesalahan dan saya didakwa… saya yakin kesalahan itu tidak membawa hukuman gantung sampai mati… mungkin kompaun saja.
“Saya akan bayar, kalau pekerja (di showroom) pun didapati bersalah, kompaun dia pun saya akan bayar… siapa lagi yang bersalah dalam peristiwa itu pun saya akan bantulah untuk bayar kalau mereka kena kompaun.
“Saya tak tertarik dekat janda, tak tertarik dekat ‘minah rewang’ saya tertarik pada kereta saja… jadi saya turun tengoklah, bukan saya tengok perempuan saya tengok kereta Raptor (sahaja),” katanya berseloroh.
Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Dewan Al Farabi, Jalan Stadium, Alor Setar pada Isnin.
Sementara itu, kereta yang dikatakan dipandu uji oleh Sanusi itu rupanya berharga hampir RM1 Juta. Berikut merupakan artikel mengenai kereta tersebut.
Trak pikap pacuaan empat roda merupakan salah satu kenderaan yang menjadi pilihan orang Malaysia selain beberapa jenis kenderaan yang lain seperti JDM, muscle car dan supercar.
Ford F-150 Raptor merupakan salah sebuah trak pikap pacuan empat roda ‘kayangan’ yang ada di pasaran Malaysia. Jangan terkeliru antara model ini dengan model Ford Ranger Raptor kerana kedua-duanya merupakan dua model yang berbeza.
Model F-150 Raptor mula diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2010. Ia mempunyai reka bentuk luaran yang sederhana dan praktikal jika dibandingkan dengan model Ford Ranger Raptor yang nampak lebih garang.
Pada bahagian kabin dalam pula, model F-150 Raptor mengetengahkan konsep yang selesa dan versatil. Manakala Ford Raptor pula menonjolkan konsep kabin yang lebih sporty dan mewah.
Dari segi kuasa dan prestasi pula F-150 Raptor hadir dengan enjin 3.5-liter twin-turbo EcoBoost V6 yang mampu menghasilkan 450hp dan 691Nm tork. Ford Ranger Raptor pula ditawarkan dengan enjin 2.0-liter biturbo diesel empat-silinder yang menghasilkan 210hp dan 500Nm tork.
Anda boleh lihat gambar-gambar penuh Ford F-150 Raptor yang sudah berada di pasaran Malaysia di sini.
Jika hendak dibandingkan harga kedua-dua model ‘Raptor’ ini, model Ford Ranger Raptor jauh lebih murah dengan harga rasminya cuma RM208,888. Manakala model F-150 Raptor ditawarkan secara rasmi oleh Hamawangsa Kredit (pemegang francis dan pengedar utama) bermula dari RM781,000 (model asas). Harganya hampir tiga kali ganda berbanding model Ford Ranger Raptor biasa.
Kereta F-150 Raptor ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) dari Gurun, Kedah dan ia turut dieksport ke beberapa negara Asean seperti Indonesia, Laos, Myanmar, Singapura dan lain-lain lagi.
Walaupun harga yang ditawarkan secara rasmi untuk model CKD agak ‘tinggi’, namun ada pengimport kereta recond menawarkan model kereta tahun 2020 yang hampir mencecah RM 1 juta (harga jangkaan termasuk cukai duti).
Kenapa harganya terlalu tinggi?
Pasti ramai tertanya-tanya mengapa harga model pacuan empat roda ini boleh mencecah hampir RM800,000? Antara beberapa faktor seperti saiznya jauh lebih besar berbanding model Ford Ranger Raptor, enjin yang lebih berprestasi tinggi dan mempunyai transmisi yang lebih sesuai untuk melaksanakan tugasan berat.
Memetik kata-kata dari portal Jasduit, jika seseorang mempunyai hasrat untuk mendaki hutan Banjaran Titiwangsa untuk dijadikan jalan utama, memang model Ford F-150 Raptor berbaloi untuk digunakan tanpa perlu menggunakan jalan atau lebuh raya utama.
Dalam erti kata lain, model Ford F-150 Raptor memang dicipta khas ultra-tahan lasak untuk membuat kerja-kerja berat dan bergerak lebih ‘liar’ di kawasan off-road.
Oleh kerana model ini dijual pada harga yang agak mahal, ada juga yang memilih cara yang lebih murah dengan mengubah suai model Ford Ranger Raptor menjadi Ford F-150 Raptor.
Di Malaysia terdapat beberapa buah kedai pengubah suaian kereta yang menawarkan perkhidmatan untuk mengubah suai model Ford Ranger Raptor menjadi kereta F-150 Raptor idaman anda.
Antara individu yang menggunakan perkhidmatan mengubah suai model ini ialah selebriti fesyen lelaki terkenal, Wak Doyok. Beliau telah modified trak pikapnya menjadi Monster Truck Ford Shelby Raptor F-150. Menurut hantaran Facebook beliau, trak pikap replika ini merupakan salah sebuah daripada 10 biji terawal yang ada di Malaysia.
Lihat saja spesifikasi dan kemampuan yang ada pada model Ford F-150 Raptor ini, jadi tidak boleh dinafikan harga trak pikap ini boleh mencecah hampir RM800,000 (model CKD) dan RM1 juta (model import).
Sehinggakan ada yang sanggup ubahsuai membuat model replika untuk menjadi orang yang terawal yang memandu trak pikap ‘Ford F-150 Raptor’ di Malaysia.