Rupanya kos RFID hanya RM1, tetapi dijual dengan harga RM35

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan mengapa Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dijual sehingga RM35 seunit kepada rakyat.

Memetik dari Malaysiagazzete, beliau mendedahkan kos untuk membuat RFID pula tidak mencecah RM1 bagi seunit teknologi tersebut.

“Jadi, kenapa pula dijual pada harga RM35?.

“Dan adakah syarikat Touch N Go atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik Smartag yang tidak berfungsi lagi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID?, soal Najib di Facebook beliau, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pengguna jalan raya mengutarakan kekecewaan selepas terperangkap dalam kesesakan di lorong tol, berikutan kegagalan sistem RFID.

Keadaan menjadi lebih parah apabila pengguna jalan raya yang gagal melakukan pembayaran menerusi RFID terpaksa mengambil keputusan beralih ke lorong TNG, namun mendapati baki dalam kad tidak mencukupi.

Hal itu kerana pertukaran penggunaan sistem bayaran daripada RFID kepada kad TNG menyebabkan pengguna lebuh raya akan dikenakan caj maksimum.

Mengulas lanjut, Najib berkata, disebabkan kosnya yang tidak sampai RM1, maka beliau mencadangkan agar teknologi itu diberikan percuma kepada rakyat.

“Sticker (pelekat) RFID sepatutnya diberi percuma kepada setiap pelanggan Touch N Go sebab kosnya rendah dan ianya memang percuma dari tahun 2018 hingga Februari 2020.

“Bermula 15 Februari 2020, ianya dijual pada harga RM35 sekeping pula,” kata Najib lagi.

Isu RFID turut mendapat perhatian Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.

Fadillah berkata pihaknya telah mengarahkan pihal PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go (TNG) diarah memberi penjelasan serta mencari penyelesaian terbaik berhubung pelbagai isu berkaitan teknologi RFID.

Malah Fadillah berkata, pihaknya sudah memanggil PLUS dan TNG untuk memastikan semua isu berkaitan pelaksanaan RFID berupaya diselesaikan secepat mungkin. – MalaysiaGazette

COMMENTS