Rugi RM100 juta tak bayar bil hospital, banyak kes ibu bersalin, warga 7 negara maju ini pun sama menipu

Malaysia menanggung kerugian mencecah RM100 juta setakat akhir tahun lalu apabila ramai warga asing termasuk negara maju gagal melangsaikan tunggakan bil perubatan di klinik serta hospital kerajaan.

Mereka terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) ‘berhutang’ dengan hospital kerajaan dalam bentuk bil perubatan membabitkan 38 negara sejak beberapa tahun lalu.

Selain negara rantau Asia seperti India, Myanmar dan Indonesia, terdapat juga warga asing terbabit dari negara maju seperti:

  1. United Kingdom (UK)
  2. Amerika Syarikat (AS)
  3. Jerman
  4. Finland
  5. Singapura
  6. Sweden
  7. Jepun.

Lapor BH, terdapat satu kes beberapa tahun lalu membabitkan seorang warga UK yang ditimpa kemalangan jalan raya.

Dia terpaksa dikejarkan ke hospital kerajaan di Lembah Klang untuk mendapatkan rawatan.

Selepas dibenarkan keluar wad, pelancong asing itu mendakwa tiada wang untuk melangsaikan tunggakan bil rawatan.

Janjinya, dia akan melunaskan bil rawatan berjumlah lebih RM20,000 itu apabila pulang ke negaranya.

Namun, sampai sekarang warga UK berkenaan masih gagal melunaskan tunggakan bil berkenaan bahkan tidak dapat dikesan.

Pihak hospital ada meminta bantuan daripada pihak kedutaan untuk mengesan individu terbabit tetapi gagal.

Tidak kurang pula segelintir warga asing yang bekerja di negara ini, turut pernah meloloskan diri daripada membayar kos rawatan di fasiliti kerajaan yang kebanyakan membabitkan ibu bersalin.

Hospital kerajaan sering kali menjadi ‘sasaran’ warga asing ini kerana pakej kos bersalin dan melahirkan anak yang murah sekitar RM3,000.

Jumlah itu jauh lebih berpatutan berbanding perkhidmatan ditawarkan hospital swasta.

Walaupun kosnya murah, ada segelintir warga asing menggunakan pelbagai helah untuk membayar kos keseluruhan rawatan.

Mereka bahkan sanggup mengambil risiko dengan melarikan diri dari wad hospital.

Berdasarkan laporan pada 2017, warga asing yang berhutang dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sahaja mencecah RM7.87 juta.

Angka tersebut dalam bentuk bil perubatan berbanding RM3 juta tahun sebelumnya.

Perangai culas warga asing untuk membayar tunggakan bil rawatan berlaku di semua hospital dan fasiliti di bawah KKM seperti diakui beberapa kakitangan hospital kerajaan yang ditemui media.

Isu berkenaan, kata mereka, sudah lama berlaku dan sampai sekarang, tiada penyelesaian tuntas diambil pihak hospital khususnya KKM.

BACA JUGA “Mak aku suka perli isteri masa dia tak kerja, sekarang dah ada duit sendiri pandai pulak dia ‘melawan’ cakap”