Bagi peminat geografi pasti biasa mendengar istilah negara mikro. Negara mikro adalah negara-negara kecil yang terhasil melalui bermacam jenis cara dan sebab bergantung kepada sejarahnya. Sealand diisytiharkan sebagai sebuah negara terkecil di dunia ketika ini dengan jumlah bilangan penduduk seramai 27 orang, direkodkan pada tahun 2002.
Negara yang bermotokan E Mare, Libertas (Dari Laut, Kebebasan) ini, menjadi sebuah negara merdeka yang berdaulat sejak tahun 1967, anggaran empat tahun lewat dari tahun pembentukan Persekutuan Malaysia. Negara kecil ini mempunyai sistem pemerintahan beraja. Individu yang bertanggungjawab terhadap pemerintahan di negara Sealand ini ialah keluarga Bates. Setiap ahli keluarga Bates merupakan pemerintah dan mempunyai gelaran diRaja yang tersendiri.
Tidak terlepas juga, Sealand telah merangka dan mempunyai perlembagaan mereka tersendiri. Negara yang berdiri di atas sebuah pelantar campuran konkrit dan besi ini telahpun memacakkan bendaranya di puncak Gunung Everest dan juga memiliki sebuah kelab bola sepak.
Awal mula sejarah pertapakan negara Sealand ini dipanggil HM Fort Roughs ataupun Roughs Tower. Pelantar tersebut merupakan satu daripada empat kubu pertahanan yang dimiliki oleh British Royal Navy untuk menahan serangan ketenteraan Jerman ketika era Perang Dunia Kedua. Sepanjang tempoh peperangan, sekitar 100 hingga 120 pegawai tentera laut telah ditempatkan di sana. Pada awal tahun 1950-an, pusat kawalan ini telah usang dan ditinggalkan. Makluman umum, kubu-kubu pertahanan tersebut direka oleh Guy Maunsell.
Pada tahun 1966, Roy Bates telah dikenal pasti oleh kerajaan British, menjalankan aktiviti penyiaran haram di salah satu kubu pertahanan tersebut yang bernama Knock John. Kubu ini hanyalah 3 batu dari pantai kawasan kerajaan British. Bagi menyelesaikan masalah ini, Roy telah mengambil tindakan untuk berpindah ke Roughs Tower, lebih jauh jaraknya dari pantai British.
Walau bagaimanapun, beliau tidaklah memulakan sebuah syarikat stesen radio di sana, malah beliau bersama keluarganya menetap terus di kubu tersebut. Setahun selepas kependudukan mereka di sana, pada tarikh ulang tahun kelahiran Joan Bates, 2 September 1967, Roy telah mengisytiharkan kemerdekaan di pelantar tersebut.
Perkara ini mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak, iaitu pihak keluarga Bates dan kerajaan British yang diwakili oleh para peguam lantikan kerajaan British. Joan telah ditabal sebagai Puteri Sealand. Maka, lahirlah sebuah kerajaan kecil di atas pelantar yang bernama Sealand.
Negara kecil ini juga telah menghasilkan beberapa syiling mereka sendiri. Matawang yang digunapakai oleh negara ini ialah Sealand Dollar ataupun Sealandic Dollar. Selain itu juga, koleksi setem edisi khas Sealand juga telah dihasilkan. Penggemar setem, sudahkah anda memiliki setem ini?