Rupanya yang diterima adalah vaksin palsu yang hanya berisi air garam

Ribuan orang di India menjadi mangsa penipuan vaksin COVID-19 palsu yang dipercayai berisi air garam. Sejak itu, polis telah menahan doktor dan pegawai perubatan yang disyaki terlibat dalam kes ini. Manakala 12 pusat vaksinasi palsu berhampiran Mumbai, India kini telah diperiksa berikutan dakwaan terbabit.

Menurut Vishal Thakur, seorang pegawai kanan di jabatan polis Mumbai, vaksin palsu yang diberikan tersebut mengandungi air garam. Vaksin tersebut disuntik kepada mereka yang menunggu untuk mendapatkan vaksin di 12 pusat vaksinasi ini.

CNN melaporkan sebanyak 2,500 orang dianggarkan telah menerima vaksin COVID-19 palsu. Pihak bertanggungjawab dianggarkan telah memperoleh keuntungan sekitar USD$ 28,000 dari vaksin palsu.

Polis telah menahan 14 orang kerana disyaki menipu, cuba membunuh, konspirasi jenayah dan tuduhan berat yang lain. Jumlah suspek berkemungkinan meningkat seiring dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh polis.

Penyediaan vaksin palsu ini menambah penderitaan yang ditanggung oleh rakyat India. Dari bulan April hingga awal bulan Jun, India dilanda gelombang kedua COVID-19 yang telah menjangkiti berjuta-juta dan membunuh puluhan ribu orang di seluruh India.

Untuk rekod, India telah mengeluarkan vaksin sendiri yang didakwa berkesan sehingga 78 peratus terhadap jangkitan simptomatik. Perdana Menteri India Narendra Modi mengumumkan pada bulan Jun bahawa vaksin itu akan diberikan secara percuma kepada semua rakyatnya.

sumber : https://www.thevocket.com/ribuan-orang-di-india-disuntik-dengan-vaksin-covid-19-palsu-berisi-air-garam/