RXZ Members akan diharamkan selepas ini?

RXZ Members adalah acara tahunan yang diadakan di Kuala Terengganu. Acara ini menghimpunkan ribuan pemilik Motor jens Yamaha RXZ di Malaysia.

Namun, kejadian buruk yang berlaku kepada peserta-peserta ini setiap kali acara ini berlangsung membuatkan ramai tertanya-tanya adakah event ini akan diharamkan polis selepas ini.

Memetik dari Bernama, Pengarah dari bukit Aman hari ini respon megenai isu ini. Polis setakat ini tidak bercadang untuk mengharamkan program perhimpunan We Are RXZ, sebaliknya mahu pihak penganjur mematuhi prosedur semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ia termasuk prosedur dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan polis peringkat kontinjen.

“Sebelum penganjuran sesuatu acara dibenarkan, ia melibatkan banyak pihak termasuk PBT yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen selain kebenaran daripada pihak polis.

“Pihak JSPT akan memfokuskan kepada kawalan lalu lintas dan keselamatan berdasarkan jumlah peserta, kenderaan serta orang ramai yang ingin hadir dalam acara itu,” katanya seperti dipetik Bernama.

Semalam, Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata tiga individu maut dalam tiga kemalangan berasingan membabitkan peserta program We Are RXZ Members 6.0.

Program We Are RXZ Members yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak pada 13 dan 14 September lepas merupakan edisi keenam penganjuran selepas kali pertama diadakan bermula 2017.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata sebanyak 1,366 kes kemalangan direkodkan berlaku di seluruh negara semalam melibatkan 12 kes kematian, menurun daripada 14 kes kematian dengan 1,641 kes kemalangan pada hari sebelumnya.