Sah! BERSATU hentikan keahlian 6 Ahli Parlimen sokong PM

Surat yang menyatakan status keahlian enam Ahli Parlimen serta seorang Ahli Dewan Undangan(ADUN) BERSATU akan dihantar minggu hadapan.

Mereka sebelum ini masing-masing menyatakan pendirian menyokong pentadbiran Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut menjelaskan surat yang bakal dihantar pada minggu hadapan itu akan mengambil tempat sejurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu selesai.

Dia yang juga merupakan Ketua Pembangkang turut bertegas bahawa sebab utama membuang ahlinya iaitu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman adalah kerana menjadi wakil raktat terawal yang menyokong pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Suhaili yang pertama akan menerima surat (terhenti keahlian) kerana ada perkara tertentu, memang sudah ada keputusan kita yang hanya mahu menunggu pengesahan MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU).

“Dua lagi wakil rakyat BERSATU (Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari) yang berceramah di pentas ceramah Pakatan Harapan (PH) (di Kuala Kubu Baharu).

“Kalau mengikut perlembagaan kita (BERSATU) secara automatik mereka (Zulkafperi dan Abdul Rashid) ini terhenti menjadi ahli BERSATU, maka kita akan bawa juga untuk buat pengesahan (di mesyuarat MPT) nanti,” katanya.

Sebelum ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan menyatakan bahawa parti tersebut akan mengambil tindakan ke atas enam Ahli Parlimennya yang menyokong pentadbiran Anwar, yang mungkin akan kehilangan kerusi mereka berdasarkan pindaan perlembagaan parti yang telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Sementara itu, Hamzah menyatakan bahawa semua wakil rakyat yang terlibat perlu mengosongkan kerusi masing-masing bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk diadakan selepas keahlian mereka dalam BERSATU terhenti kelak.

“Mereka terhenti menjadi ahli, maka dalam akta (lompat parti) sudah diluluskan. Maknanya kawasan mereka juga terpaksa mereka lepaskan kerusi,” katanya.

Ditanya andai kemungkinan ada antara wakil rakyat terbabit membawa kes ke mahkamah, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut bagaimanapun, menyifatkan tindakan itu adalah perkara biasa.

“Bila terhenti (keahlian), mereka mahu bawa ke mahkamah itu biasalah,” katanya.

Baca juga: Gelombang panas punca ramai diserang strok haba, Terengganu adakan solat sunat Istisqa