Peguam yang mewakili ibu bapa kandung kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 telah mengesahkan dakwaan khabar angin yang bertiup apabila dirinya tidak lagi mewakili pasangan itu bermula Selasa.
Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co berkata, keputusan yang dibuat berdasarkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.
“Saya mengesahkan berita yang tersebar bahawa saya tidak lagi mewakili kedua ibu bapa Allahyarham Zayn.
“Ia dibuat berdasarkan faktor-faktor tertentu yang mana saya tidak dapat dijelaskan kepada semua,” katanya.
Mahmud bagaimanapun tidak dapat memberi penjelasan panjang lebar berkenaan situasi itu namun mempunyai alasan yang kukuh.
Dia turut menitipkan doa agar perjalanan kes tersebut berjalan lancar dalam menemui kebenaran yang dicari.
Menurut beliau, sebagai seorang peguam, dia menasihati semua pihak agar menghormati proses perundangan dan tidak membuat spekulasi yang tidak berasas tentang kes tersebut demi kebaikan semua pihak.
Pada hari Jumaat, kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan ditahan dan direman selama tujuh hari mulai hari Sabtu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.