Sah !!! Umno adakan mesyuarat tergempar malam ini tentukan nyawa kerajaan

BIRO Politik UMNO akan menentukan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perikatan Nasional pada mesyuaratnya malam ini di Ibupejabat UMNO Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sumber memberitahu, mesyuarat tersebut yang akan dipengerusikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada pukul 3 petang ini akan berlangsung selepas Maghrib.

‘’Ia dipindah ke sebelah malam selepas dihidu oleh pihak media,’’ kata sumber tersebut kepada UtusanTV.

Ia dijangka dihadiri oleh 10 anggota jawatankuasa pengurusan dan 13 pengerusi perhubungan UMNO negeri.

BACA JUGA : UMNO bermesyuarat esok, tarik diri daripada kerajaan 1 Ogos ?

Berikutan perkembangan terbaru tersebut, sumber berkenaan melahirkan kebimbangan kenapakah mesyuarat itu mahu diteruskan biarpun ia terang-terang akan melanggar SOP PKP 3.0.

‘’Kita tidak mahu ada ‘double standard’ dalam soal ini, selain mesyuarat secara bersemuka melanggar SOP, apakah mereka yang terlibat dalam mesyuarat itu akan dibenarkan merentas negeri kerana ramai anggota biro berada di luar Lembah Klang.

‘’Kita meminta kepemimpinan UMNO memberi perjelasan bagaimana mesyuarat itu akan dijalankan kerana kita tidak mahu ia melanggar SOP sehingga menjejaskan imej parti, ’’ katanya.

Pada masa sama sumber itu juga bimbang jika mesyuarat itu akan menarik perhatian media sehingga boleh menyebabkan berlaku perkumpulan beramai-ramai.

Sumber itu juga mendakwa, mesyuarat Biro Politik tersebut dianggap langkah terbaru kepemimpinan parti bagi membolehkan tindakan untuk keluar daripada Kerajaan PN dilakukan.

‘’Jika mesyuarat itu memutuskan sedemikian, ia akan memudahkan Presiden parti menyakinkan Majlis Tertinggi untuk membuat keputusan yang sama,’’ kata sumber itu.

Semalam, UtusanTV melaporkan berhubung mesyuarat berkenaan yang dijadualkan diadakan pada pukul 3 petang ini.

sumber : https://utusantv.com/2021/06/20/biro-politik-umno-mesyuarat-malam-ini-tentukan-kedudukan-dalam-kerajaan-pn/