Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KMM) tidak seharusnya bersikap defensif dengan menafikan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) tiada kaitan politik dengan kerajaan.
Menerusi hantaran Facebooknya, beliau mempersoalkan sekiranya Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menggunakan JASA sebagai jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 kelak.
Menurutnya juga, ada kemungkinan Menteri KMM itu akan menggunakan peruntukan besar sebanyak RM85.5 juta untuk menaja portal politik tertentu.
“Saifuddin mengakui dengan jumlah besar itu JASA akan mengambil staf lebih ramai. Apakah mereka akan menjadi jentera PPBM di setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) yang berhadapan masalah kekurangan cawangan dan ahli di akar umbi untuk menghadapi PRU-15?
“Saifuddin juga mengaku peruntukan empat kali ganda itu akan digunakan untuk membangun Stratcom yang kuat.
“Apakah tidak mungkin ia juga akan digunakan oleh PPBM untuk PRU atau menaja portal politik tertentu?,” soalnya.
Terdahulu, KKMM dalam satu kenyataannya berkata penubuhan semula JASA akan dianggotai pasukan yang tidak langsung bermotifkan politik dan peruntukan yang disediakan kerajaan kepada agensi itu akan dimanfaat bagi melaksanakan peranannya dengan berkesan.
Katanya, ia diberi tanggungjawab menerajui penubuhan semula JASA yang bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi secara tersusun, strategik serta bersasar mengikut keperluan semua lapisan dan segmen masyararakat.
Malah kata kenyataan itu, peruntukan JASA dalam Belanjawan 2021 adalah bagi pengambilan lebih ramai kakitangan untuk ditempatkan di semua negeri dan daerah serta melengkapkan keperluan prasarana digital untuk menyebarkan maklumat
Sementara itu, Puad menyifatkan peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada JASA adalah terlalu besar, malah tidak sensitif kepada keutamaan tatkala negara dilanda gelombang ketiga wabak Covid-19.
Menurutnya, dengan sikap Saifuddin yang sentiasa menjadi ‘pematuh’ kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, maka JASA tidak memerlukan peruntukan besar.
“Lagi pun Saiffuddin selaku Menteri KKMM adalah pematuh Azmin tahap dewa. A kata Azmin, maka A juga kata Saifuddin.
“Justeru JASA tidak perlu peruntukan sebesar RM85.5 Juta kecuali kalau ada tujuan lain. Yang penting keberkesanan. PM kena jawab secara terperinci di Parlimen,” katanya lagi.
Sumber:MD