Saksi dakwa Ebit Lew cadang ajak tukar pasangan, “Saya dengan dia manakala suami dengan isteri beliau”

Saksi kesembilan memberitahu mahkamah bahawa pendakwah terkenal, Ebit Lew, menggesanya untuk bertukar pasangan bagi tujuan melakukan hubungan intim.

Saksi kesembilan yang juga pengadu dalam perbicaraan kes gangguan seksual yang melibatkan Ebit Lew, atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38 tahun, menjelaskan perkara tersebut semasa memberi keterangan mengenai tangkapan skrin teks WhatsApp yang diterimanya dalam sesi pemeriksaan utama di Mahkamah Majistret pada hari ini.

Wanita berusia 40-an itu memberitahu Mahkamah bahawa dalam teks WhatsApp yang diterimanya, Ebit menggesanya untuk bertukar pasangan.

Ebit mencadangkan agar dia dapat melakukan hubungan intim dengan pengadu sementara suami pengadu diminta untuk melakukan hubungan intim dengan isterinya.

Dalam tangkapan skrin yang lain, pengadu memberitahu Mahkamah bahawa Ebit juga menggunakan perkataan-perkataan lucah dengan menyatakan keinginan untuk memeluk, mencium secara manja-manja, dan melakukan perkara-perkara tidak senonoh kepadanya.

Kemudian, pengadu membalas mesej tersebut dengan menyatakan bahawa Ebit mempunyai isteri dan mereka sepatutnya mempunyai hubungan suami isteri di rumah, jadi mengapa perlu melakukan perkara-perkara tersebut lagi kepadanya.

Apabila Ebit mengajaknya untuk bertukar pasangan, pengadu memberitahu bahawa dia dan suaminya tidak akan bersetuju dengan cadangan tersebut.

Menurut keterangan saksi tersebut, dia juga menghantar teks WhatsApp untuk menasihati Ebit agar bertaubat nasuha dan menghindari melakukan perkara sebegitu dengan orang lain, memandangkan Ebit adalah seorang yang terkenal.

“Aib ini saya seorang sahaja yang simpan, macam awak cakap, kita manusia biasa. Lagipun saya isteri orang. Tak apalah ini ujian hidup saya, ada suami macam ini, saya sabar sahaja demi anak,” katanya.

Baca juga: Ibu tersilap ‘masak’ bayi umur setahun dalam ketuhar hingga mati