Saksikan detik mempesonakan enam planet muncul sederet di cakerawala

Enam planet, iaitu Utarid, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun akan muncul dalam satu garis lurus sederet yang dikenali sebagai penjajaran planet (‘Planetary Parade’), mulai pagi ini.

Detik mempesonakan dan menakjubkan ini diramalkan muncul hampir semua tempat di seluruh dunia pada tahap tertentu dengan masa yang berbeza bagi sesetengah negara.

Berdasarkan The Weather Channel, masa terbaik untuk melihat penjajaran planet itu ialah sebelum matahari terbit, dan Pantai Timur akan mempunyai kawasan tontonan terbaik, selagi langit cerah.

Kenampakan planet itu seakan-akan membentuk satu garisan lurus di langit juga akan kelihatan, esok pada jam 6.40 pagi ini (waktu Malaysia).

Namun, terdapat segelintir orang beranggapan sesuatu yang buruk akan menimpa manusia di Bumi berikutan fenomena yang terjadi di ruang angkasa itu termasuk menyangka dunia bakal kiamat.

Walhal, apa yang berlaku hanya membabitkan formasi membabitkan beberapa planet dalam sistem suria akan membentuk satu garisan luar di langit.

Garisan lurus planet itu dijangka ‘dibarisi’ enam planet iaitu Utarid, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun.

Dari perspektif pemerhati di Bumi, formasi keenam-enam planet kelihatan begitu mempesonakan seakan-akan membentuk satu formasi dalam garisan lurus di langit timur.

Mengulas mengenainya, Pegawai Penyelidik Bahagian Eksplorasi dan Sains Angkasa (BES) Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Lau Chen Chen, berkata sebenarnya semua planet itu adalah tidak sejajar jika dilihat dari angkasa.

Jelasnya, penjajaran planet berlaku apabila sekurang-kurangnya tiga planet kelihatan berada dalam satu garisan di langit.

Dari sudut ahli dan peminat astronomi, ia tidak asing lagi kerana ia sudah diketahui lama oleh tamadun manusia sejak dahulu lagi.

“Penjajaran planet boleh berlaku pada setiap tahun dengan jumlah dan kombinasi planet yang berbeza.

“Namun, fenomena ini tidak memberikan apa-apa kesan kepada Bumi kerana ia hanyalah fenomena optikal,” katanya yang berpendapat situasi itu tetap dapat menarik perhatian masyarakat dunia yang dianggap mengagumkan.

Pada kali ini, Chen Chen berkata, fenomena penjajaran planet hanya membabitkan empat planet iaitu Utarid, Marikh, Musytari dan Zuhal dapat ditonton dengan mudah serta jelas dengan mata kasar.

Tetapi tidak untuk planet Uranus dan Neptun jika ingin melihat fenomena itu perlu menggunakan alat bantu optik seperti binokular serta teleskop kerana objeknya nampak terlalu kecil.

Bagaimanapun, katanya dipetik BH, penampakan planet itu amat bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

“Fenomena itu dapat disaksikan sekitar awal pagi (3 Jun) sebelum Matahari terbit sehingga pertengahan Julai 2024 di langit timur sekiranya cuaca dalam keadaan baik.

“Pemerhati boleh menggunakan aplikasi astronomi seperti TheSky, SkySafari, Stellarium dan lain-lain untuk melakukan simulasi sendiri di lokasi masing-masing dan mendapatkan anggaran waktu fenomena itu berlaku,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Lima cara tambah pendapatan paling kurang 10% setiap tahun