Salah faham punya pasal, pemain bola sepak ditemui maut hanya tinggal rangka akibat dimakan Piranha

Seorang pemain bola sepak Brazil ditemui maut di sungai dalam keadaan hanya tinggal rangka selepas dipercayai diratah ikan piranha di sungai Rio Negro di Educandos, baru-baru ini.

Menurut Daily Star, mayat Luiz Henrique Coelho de Andrade, 21, ditemui dalam keadaan mengerikan dan sukar dikenali  pada Sabtu lalu.

Difahamkan, Luiz terjun ke dalam sungai tersebut kerana dikejar polis gara-gara disangka terlibat dengan kegiatan jenayah pada awalnya.

Hal ini kerana ketika itu, pihak polis sedang mengejar sekumpulan penjenayah di kawasan berhampiran sekitar situ.

Lalu tidak semena-mena, Luiz yang ketika itu baru pulang dari perlawanan bola sepak juga turut dikejar kerana disangka penjenayah.

Ketika sesi kejar-mengejar itu, satu tembakan dilepaskan ke arahnya sebagai ugutan sebelum dia dipaksa terjun ke sungai tersebut.

Malangnya disebabkan tidak pandai berenang, Luiz terpaksa bergelut di dalam air untuk terus bertahan menyelamatkan diri.

Detik cemas Luiz itu sempat disaksikan oleh seorang individu berhampiran situ, namun polis tersebut didakwa menghalangnya untuk selamatkan pemain muda itu.

Menurut ibunya, Luiz dilapor telah hilang kira-kira 11 jam lamanya sebelum mayatnya ditemui di sungai itu dalam keadaan tinggal rangka.

“Salah seorang pegawai polis memaksanya untuk terjun ke sungai walaupun sudah dimaklumkan bahawa dia tidak boleh berenang.

“Lalu polis itu melepaskan tembakan ke arahnya sebagai tanda paksaan (dipercayai untuk menyerah diri),” katanya, memetik Daily Star.

Tambah wanita itu lagi, tindakan seorang individu (saksi) yang cuba menyelamatkan nyawa anaknya menggunakan sampan itu turut dihalangi polis.

Bagaimanapun, menurut laporan media, segala bermula ketika pihak polis mengejar sekumpulan individu yang disyaki melakukan kegiatan jenayah.

Namun ketika itu, Luiz yang ada di lokasi kejadian turut melarikan diri sebelum terjatuh ke dalam sungai tersebut.

Difahamkan, pihak polis telah mengarahkan keluarganya untuk membuat aduan kepada Sistem Keselamatan Awam, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri berhubung kes tersebut.

Terdahulu, empat orang telah dilaporkan maut dibaham pirana di Sungai Paraguay, Amerika Selatan.

Manakala 20 yang lain cedera selepas diserang ikan pirana dalam beberapa kejadian yang mengejutkan.

Kematian pertama menjelang tahun baru berlaku pada hari Ahad yang lalu melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang hilang ketika sedang mandi di sungai tersebut.

Mayat mangsa ditemui lebih kurang 45 minit kemudian dengan beberapa bahagaian badannya didapati telah hilang dan dimakan oleh ikan pirana.

Serangan kedua pula berlaku kepada lelaki berusia 49 tahun yang dilaporkan hilang di sungai tersebut selama satu jam sebelum ditemui dalam keadaan wajah yang dipenuhi kesan gigitan.

Dua individu lain pula dilaporkan terbunuh dengan kesan gigitan pada badan di Sungai Tebicuary, Villa Florida di Misiones.

Baca juga: https://themalaysialife.com/hilang-tak-dapat-dikesan-mahkamah-arah-tangkap-bekas-pengasas-tudung-aidijuma/

Baca Juga: Jumpa 17 pokok ganja dalam rumah, penyanyi nasyid ditahan polis