Sambal Nyet masih ‘sold out’ sampai hari ini, pendapatan Khairul Aming cecah RM7.5 juta

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Selebriti media sosial, Khairul Aming mendedahkan bahawa beliau berjaya meraih RM7.5 juta dari hasil jualan ‘Sambal Nyet’ yang dimulakannya sejak tahun lalu.

Menerusi perkongsiannya di Twitter, beliau berkata, 540,000 botol berjaya dijual dalam tempoh setahun produk makanan itu dilancarkan.

Apa yang lebih menarik, Khairulaming turut berkongsikan bahawa beliau kini sudah pun mempunyai kilang sendiri yang berkeluasan 14,000 kaki persegi di Kota Bharu, dan sudah beroperasi sepenuhnya.

Dengan kos sebesar lebih RM1 juta untuk membina kilang tersebut, beliau berkata banyak kesilapan dan kerugian yang dialaminya, namun menganggap itu semua sebagai proses pembelajaran.

“Sepanjang setengah tahun yang lepas macam-macam silap aku buat. Ada tersilap beli mesin, tersilap beli material, tersilap design layout dan macam-macam lagi. Tapi dari situ kita belajar. Selepas spend lebih RM1 juta, ini kilang yang beroperasi pada hari ini.

“Dari segi pembuatan sambal, kita dah berjaya automate lebih dari 50 peratus. Berbekalkan dengan mesin-mesin ni, banyak masa kita dapat jimatkan untuk production,” katanya.

“Ia bukan satu proses yang mudah tapi reason kenapa aku nak buat kilang sendiri sebab aku nak belajar manufacturing process daripada awal sampai akhir,” tambahnya lagi.