Sanggup bawa anak masuk negara lain secara haram, 26 pati Indonesia ditahan

  • Post author:

Cubaan memasuki negara secara haram akhirnya membawa padah apabila 26 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan ketika cuba diseludup masuk oleh tiga tekong tempatan.

Di antara pati tersebut empat daripadanya adalah bayi berusia setahun. Mereka ditahan secara berasingan oleh pasukan Task Force dan anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, dua daripada tekong itu ditahan di tepi jalan berdekatan Kampung Tangga, Jalan Serian-Tebedu jam 11.15 malam kelmarin.

“Pasukan Task Force IPD Serian dan anggota peronda menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama tujuh penumpang warga asing berumur lingkungan setahun hingga 42 tahun.

“Di lokasi sama, polis turut menahan sebuah kenderaan yang dipandu lelaki tempatan bersama 10 penumpang warga asing yang berumur setahun hingga 41 tahun.

“Kedua-dua lelaki tempatan terbabit disyaki tekong darat yang membawa Pati masuk ke negeri ini tanpa menggunakan laluan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata seorang lagi tekong tempatan ditahan di tempat letak kereta bersebelahan stesen minyak jam 12.10 tengah malam semalam yang membawa sembilan Pati berumur setahun hingga 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua penumpang tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.

Aswandy berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Pihaknya turur menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti penyeludupan.Beliau juga menasihati masyarakat agar tidak bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran.

Baca Juga: Cuba ‘suap’ RM200 dekat polis, buruh ladang mengaku bersalah

Baca Juga: Jalin hubungan tidak sah, seorang wanita diarah bayar RM2.5 juta kepada isteri kekasihnya