Kehilangan bakal suami sebulan sebelum majlis pernikahan adalah ujian sebenar terhadap emosi dan mental seorang wanita.
Dalam sekelip mata, arwah tunangnya, Shahrizuan Shukri, 28, pergi selama-lamanya setelah ditemui lemas di sebuah sungai di Pasir Pekan, Kelantan dalam kejadian pada 25 Mei lalu.
Namun dek kerana keadaan yang semakin membimbangkan, keluarganya mencadangkan agar dia dijodohkan dengan abang arwah, Shahron Shukri yang berusia 32 tahun.
“Selepas tunang meninggal, saya alami kemurungan. Mana tidaknya, tunang saya ‘pergi’ secara mengejut sedangkan kami dah tak lama nak menikah.
“Tapi saya bersyukur sangat mak ayah dia jaga saya dengan baik sedangkan saya cuma hilang tunang je tapi mereka kehilangan seorang anak. Mereka cakap tak nak sia-siakan saya jadi putuskan untuk jodohkan saya dengan abang arwah.
“Masa mula-mula kenal abang dia memang susah nak terima dalam hidup ni. Tapi saya tak nak kehilangan keluarga arwah yang baik ni, jadi saya cuba minta petunjuk daripada Allah,” ujar wanita berusia 24 tahun ini.
Ujar Nina, Shahrizuan seolah-olah memberikan petanda bahawa dia akan ‘pergi’ meninggalkannya pada hari sebelum kejadian.
“Sebelum dia meninggal, arwah banyak tinggalkan pesanan. Macam dia tahu tiba masanya dia untuk ‘pergi’, cuma kami je yang tak nampak hint tu.
“Sebelum ni, arwah selalu cakap dekat saya yang abang dia ni tak kahwin lagi. Dia nak sangat cari jodoh untuk abang dia yang serupa macam saya.
“Disebabkan pesanan itulah membuatkan saya nak terima abang dia dalam hidup ini,” ujarnya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.
Nina mengakui bahawa dia tidak menjangkakan bahawa video yang mengisahkan kisah perjalanan bersama arwah tunang dan jodohnya yang dimuat naik pada awal September lalu akan menjadi viral dengan begitu tiba-tiba.
Banyak yang teruja dengan perkongsian Nina kerana ia dianggap seperti menonton sebuah filem atau drama.