Sanusi “backup” Muhyiddin, jawab persoalan ketiadaan Muhyiddin di Parlimen jawab soalan

Sanusi “backup” Muhyiddin, jawab persoalan ketiadaan Muhyiddin di Parlimen jawab soalan

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan ketidakhadiran Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika penggulungan perbahasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Dewan Rakyat semalam.

Ketidakhadiran Muhyiddin ketika sesi itu menimbulkan kekecohan apabila ia dipertikaikan oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

Dalam catatan Facebook tengah malam tadi, Sanusi berkata Muhyiddin mempengerusikan Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara atas talian ketika penggulungan itu berlangsung.

“Dari jam 3:00 pm sehingga jam 6:20 pm tadi (semalam) YAB Perdana Menteri telah mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menangani pandemik Covid-19.

“Saya turut hadir secara atas talian,” katanya.

Berdasarkan tangkap layar yang dimuatnaik, turut hadir dalam mesyuarat itu termasuk Menteri Luar, Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin.

Penggulungan bagi perbahasan PPN dilakukan oleh menteri penyelaras PPN, Tengku Zafrul Abdul Aziz, bermula pada pukul 4.30 petang.

Keadaan itu menimbulkan kekecohan apabila ahli-ahli parlimen pembangkang menuntut jawapan daripada perdana menteri.

“Tidak pernah dalam sejarah – sejak merdeka, sejak tertubuhnya Parlimen – soalan kepada perdana menteri dan (berkenaan) darurat dijawab oleh menteri kewangan,” kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim kepada Dewan Rakyat semalam.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat membenarkan Zafrul meneruskan penggulungan.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/584692

COMMENTS