Sanusi buat hal lagi, dakwa Kedah adalah tuan sebenar tanah Pulau Pinang

Menteri Besar Kedah Muhamad Sanusi Md Nor mengungkit fakta sejarah berhubung status negeri Pulau Pinang yang dipajak dan tidak wajar mempersoalkan projek mega yang sedang dirancang untuk dibangunkan di negeri tersebut.

Sanusi membidas pentadbiran kerajaan Pulau Pinang dipimpin DAP tersebut yang dilihat kurang senang dengan beberapa projek mega dirancang kerajaan negeri Kedah yang bakal memberi saingan kepada negeri jiran itu.

“Pulau Pinang bukan negeri yang wujud dengan sendirinya, dalam sejarah Malaysia ada dimaklumkan bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak dari Kedah.

“Jangan pula kita pajak tanah orang, kemudian kita marah pula kepada tuan tanah yang kita pajak itu. Itu tidak patut,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Terdahulu, Sanusi ditanya ADUN Sungai Limau (PAS) Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) yang ingin mengetahui mengenai strategi kerajaan negeri dalam menangani rasa cemburu negeri jiran susulan pengumuman beberapa projek berimpak tinggi.

Tegasnya lagi, sejarah bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak dari Kedah perlu sentiasa diingat dengan Pulau Pinang tidak sepatutnya masuk campur dan menegur urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Sanusi berkata, bagaimanapun sebagai jiran yang baik, kerajaan negeri memberi jaminan Pulau Pinang akan sentiasa berada dalam keadaan aman dan tidak perlu bersaing dengan Kedah.

Jelasnya, sebagai contoh projek pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP) dibina dengan tujuan menjadi pelengkap kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Semua pihak mengetahui usaha untuk menaik taraf LTAPP tidak dapat dibuat sepenuhnya kerana faktor kekangan tanah yang dialaminya. Jadi KXP ini akan menjadi pelengkap kepada LTAPP dan bukannya pesaing kepada Pulau Pinang.

“Disebabkan itu, kita akan kekal berbuat kebaikan supaya negeri jiran berasa selamat kerana di dalam Islam, inilah yang dianjurkan kepada umatnya,” katanya.

Terdahulu, Sanusi menjawab soalan lisan Mohd Azam yang bertanya mengenai status projek berimpak tinggi Kedah iaitu KXP, Bandar Getah Kedah (KRC), Taman Teknologi dan Sains Kedah dan Hab Logistik, Pengeluaran dan Aeroangkasa Sidam (SLAM).

Beliau berkata, kesemua projek berimpak tinggi itu akan membawa perubahan besar kepada Kedah selain berupaya mengubah landskap ekonomi negeri secara lebih meluas.

sumber : https://www.agendadaily.com/isu-semasa/mb-kedah-ungkit-sejarah-pulau-pinang-dipajak/