Satu keluarga panik! Duit RM225,000 ‘terbuang’ di pusat pengumpulan sampah

Sebuah keluarga di Vietnam diserang panik setelah wang tunai sebanyak 1.17 bilion dong (RM225,197) secara tidak sengaja dibuang ke pusat pengumpulan sampah.

Pada Rabu yang lalu, sekitar pukul 8.25 malam waktu tempatan, seorang lelaki membawa beg sampah ke tempat pengumpulan sampah berdekatan dengan rumahnya di Jalan Ly Thuong Kiet.

Kira-kira 15 minit kemudian, mereka sekeluarga tersedar bahawa duit yang baru sahaja dikeluarkan di bank berdekatan diletakkan di dalam beg sampah yang serupa.

Namun, mereka gagal menemukan beg sampah tersebut dan bertindak membuat laporan polis.

“Isteri saya menangis kerana jumlah wang yang hilang terlalu banyak,” kata lelaki berkenaan.

Selepas menganalisis rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) beberapa jirannya, pihak polis berhasil menemukan beg merah yang disyaki mengandungi wang tersebut yang terselit di antara timbunan sampah.

Selepas dua jam, beg tersebut akhirnya ditemui semula sebelum ia nyaris dihantar ke sebuah pusat pelupusan sampah.

Baca juga: Tiba-tiba datang nak bayar kereta ‘cash’, lelaki ini buat 20 pekerja pengsan kira RM35,000 duit syiling