“Saya akan terus bersama rakan perkuat Amanah’-Husam Musa

Bekas Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa menegaskan beliau masih ahli AMANAH dan tidak sekali-kali akan keluar daripada parti itu.

Menurutnya, beliau akan terus memperkuatkan AMANAH bersama-sama rakan-rakan di dalam parti itu.

“Saya tidak akan keluar daripada AMANAH, rakan-rakan di sebelah sana banyak spekulasi seolah-olah saya mahu keluar AMANAH.

“Saya akan terus perkuat AMANAH bersama rakan-rakan yang sedia ada,” katanya dalam sesi temubual secara langsung di Sinar Harian hari ini.

Katanya, sesiapa sahaja boleh letak jawatan dan ianya tidak menjadi satu masalah kerana berjawatan di dalam politik ianya adalah tugas berupa perkhidmatan.

“Bila saya berhenti saya boleh menyumbang dalam perkara-perkara yang lebih berkesan,” tegas beliau.

Perletakan jawatan itu, Husam berkata pihak pimpinan AMANAH menerima sebaiknya dan memahami apa yang beliau kehendaki.

“AMANAH tidak ada apa-apa masalah. Pihak yang bergembira kononya akan ada perpecahan dalam AMANAH…khususnya parti yang tidak ada kerusi di PRN Sabah.

“Apa-apapun saya akan memperkuatkan AMANAH,”katanya.

Pada 2016, Husam mengumumkan menyertai AMANAH selepas dipecat keanggotaannya dalam PAS susulan lantang mengkritik Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama Pas-Umno.

Mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional AMANAH pada 6 September lalu telah menerima permohonan Husam untuk melepaskan jawatannya selaku Naib Presiden parti itu.

Permohonan peletakan jawatan itu bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi untuk AMANAH di Kelantan, khasnya di Parlimen Kota Bharu yang beliau ketuai.