Penyanyi lagenda tanah air, Datuk Aishah Ariffin, 57, disahkan positif Covid-19 buat kali kedua.
Aishah yang mengesahkan dirinya positif wabak itu melalui perkongsian video pada akaun Instagram (IG) malam tadi, menyifatkan apa yang berlaku terhadapnya sebagai ketentuan ilahi
“Assalamualaikum semua. Ini baru betul-betul ketentuan takdir. Hari itu, selepas menerima suntikan dos penggalak, saya diminta Presiden Aishah FC, Dr Nazlin buat ujian saringan.
“Hari pertama keadaan saya baik-baik sahaja. Namun, selepas membuat ujian menerusi kit ujian kendiri, saya didapati positif Covid-19 untuk kali kedua.
“Saya juga buat ujian itu untuk kali kedua dan keputusannya tetap sama,” katanya sambil menunjukkan alat ujian itu yang bertanda dua garisan merah.
Beliau berkata, rasa sakit yang dialaminya teramat sangat dan dirinya rasa betul-betul tidak larat.
“Simptom yang saya alami ini sama seperti simptom klasik Covid-19 yang pernah saya baca sebelum ini.Masa mula-mula kena, saya tidak ada batuk atau hidung berair. Tetapi kali ini, keadaannya sangat teruk,” luahnya melalui video durasi 2.51 saat itu.
Melalui hantaran berbeza, penyanyi Janji Manismu ini sempat bergurau dengan pengikut biarpun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Covid-19 ini peminat lagu Janji Manismu agaknya sebab asyik nak ikut saya sahaja. Tidak mengapalah, Allah nak suruh saya berehat. Dapatlah saya berehat untuk beberapa hari.
“Jaga diri dan saya harap anda semua dapat doakan saya dan mereka yang sedang bertarung dengan virus ini,” katanya.
Meninjau ruangan komen, peminat dan rakan selebriti mendoakan agar bekas anggota kumpulan The Fan Club itu tabah dan segera sembuh.