‘Saya pun tak tahu dia boleh hafal lagu itu’ – Ramai terhibur Kakak Kerinting menyanyi sambil menangis

Ibu kanak-kanak yang digelar Kakak Kerinting pun tidak tahu anaknya yang berusia 4 tahun itu boleh hafal lagu Aina Abdul bertajuk ‘Jangan Mati Rasa Itu’.

Nurhidayah Izzati Yusri Wong, 28, berkata, dia sama sekali tidak menjangka anaknya boleh menyanyikan lagu itu dalam keadaan menahan sakit.

“Pada Khamis lalu (29 Februari) saya bawa dia pergi ambil darah di klinik untuk ujian alahan.

“Jadi, sepanjang dalam kereta saya cakap jangan menangis dan doktor cucuk sikit saja.

“Tidak jangka pula sewaktu kena cucuk dia menyanyikan lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’ sambil menangis.

“Saya pun tak tahu dia boleh hafal lagu itu,” katanya kepada Harian Metro.

Ujarnya, Naura Delisya Muhammad Anas diakui mula meminati lagu Aina Abdul.

“Kalau dia dengar lagu dia akan tanya lagu apa. Dia juga suka menari untuk acara sekolah, kebetulan dalam kereta lagu di radio adalah lagu Aina.

“Lepas tu, dia akan menyanyi, dia ikut dan hafal.

“Apatah lagi sekarang nak Anugerah Juara Lagu (AJL), jadi lagu Aina selalu keluar di radio.

“Ada satu ketika saya buka pula lagu sama di YouTube dan dia ikut gaya Aina macam dalam video muzik.

“Sebelum ini, dia suka juga lagu Blackpink dan lagu kanak-kanak tetapi suka menari saja. Lagu Aina ni saya rasa yang pertama dia suka dan boleh nyanyi sekali,” katanya.

Video yang dikongsikan itu sudah mencecah ratusan ribu tontonan.

Bahkan, penyanyi Aina Abdul turut meninggalkan komen selain membuat hantaran semula video itu di Instagram Story.

BACA JUGA Ramai taktahu kewujudan ‘Kampung Terkaya’ di dunia, semua penduduk dapat duit RM1 juta dengan syarat..