Saya tak akan biar Muhyiddin buli saya seperti dia buli Umno- MT Umno

SAMAN RM10 JUTA OLEH PERDANA MENTERI

Saya sahkan telah menerima LOD daripada Peguam Perdana Menteri. Dia akan ambil tindakan saman RM10 juta terhadap saya.

Saya akan serahkan kepada Peguam saya untuk respond surat LOD tersebut.
Sebagai individu yang dijamin kebebasan bersuara, saya tidak akan benarkan diri saya dibuli oleh TS Muhyiddin seperti mana UMNO dibuli.

Saya tidak perlu memohon maaf dan tidak perlu memadam posting dalam FB saya.
Justeru saya memilih ke Mahkamah. Ini akan memberi peluang kepada saya untuk bersama rakyat yang membantah amalan “antara dua darjat” dalam isu kuarantin.

Saya dituduh memfitnah Perdana Menteri. Sedangkan saya hanya bertanya dan meminta penjelasan. Kalau itu pun di saman maka amat wajar saya melawan di Mahkamah.

Oleh kerana peraturan kuarantin 3 hari untuk Menteri dibuat tergesa gesa, maka ia isu “kepentingan awam” yang perlu ditanya dan dipersoalkan.

Ini kerana dalam Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan disebut dengan jelas rakyat berhak mendapat layanan yang adil dan saksama. Maka apakah “kuarantin” 3 hari tidak bertentangan dengan Artikel 8?

Pada saya amat jelas tindakan saman ini bertujuan untuk menutup mulut dan menakutkan para pengkritik. Saya tidak berganjak.