‘Saya tak hadap, dahlah bayar ciput!’ – Azwan Ali berang dibuang sebagai pengacara Mic On 2

Pengacara sensasi Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA dikhabarkan telah digugurkan sebagai pengacara sebuah program realiti yang tengah hangat sekarang iaitu program realiti Mic On musim kedua (Mic On 2) berkuat kuasa serta merta semalam.

Bagaimanapun Azwan berkata, beliau tidak akan mendedahkan punca namanya digugurkan sebagai pengacara program realiti, Mic On musim kedua di Awesome TV.

Azwan ketika dihubungi Harian Metro berkata, persoalan itu sepatutnya ditanya kepada pihak pengurusan Awesome TV yang mengambil keputusan drastik itu.

“Mereka boleh cakap apa saja, dipersilakan. Allah Maha Berkuasa. Tunggu sajalah nasib mereka, karma itu pasti ada.

“Saya tak rasa apapun, malah saya tetap kaya-raya dan disambar sana-sini oleh pihak produksi. Saya tak hairan dan tak hadap sebenarnya tawaran ciput ini, tapi saya buat demi peminat.

“Mereka boleh pertahankan kru dan wakil pengurusan, tapi saya juga ada prinsip hidup sendiri. Jangan main-main dengan saya,” katanya memetik Harian Metro.

Azwan berharap pihak Awesome TV tidak sesekali mempergunakan orang sesuka hati dan selesaikan hutangnya secepat mungkin.

“Bayar hutang saya sebelum saya buat laporan polis. Sudahlah bayar ciput. Jangan sesekali menggelupur mempergunakan orang, saya tak hadap.

“Penonton tengok Mic On sebab saya. Jangan nak kurang ajar dengan saya. Mereka ingat mereka besar sangat. Mereka an.iaya saya, tunggu karma yang bakal menanti.

“Ada benda kurang ajar sudah berlaku. Jangan tanya saya, tapi tanya kepada mereka apa benda kurang ajar yang saya dakwa sudah berlaku dalam pengurusan Awesome TV. Saya takkan dedahkan tapi suruh mereka keluarkan kenyataan media.

“Saya bila-bila masa boleh ke balai polis dan menggunakan khidmat peguam saya. Selagi hutang saya tak bayar jangan terkejut kalau ini jadi kes polis,” katanya.

Program Mic On 2 akan dikendalikan pengacara bersama yang sedia ada iaitu Issey Fazlisham

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, keputusan menggugurkan Diva AA dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan program Mic On 2 dapat diteruskan dengan lancar bagi menghormati semua pihak yang terbabit.

“Pihak pengurusan Awesome TV hari ini mengambil keputusan untuk menggugurkan Azwan Ali daripada tugas pengacaraan bagi program realiti Mic On berkuat kuasa serta merta.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa pihak Awesome TV tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang hal-hal berkaitan dengan disiplin dan standard etika kerja bagi mana-mana pihak sama ada di kalangan tenaga produksi sendiri mahupun bakat yang terbabit dengan program-program terbitan kami.

“Pihak Awesome TV juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku atau gangguan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian. Tindakan keras akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran integriti prinsip tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.