Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menepis dakwaan beliau lewat tiba di tempat pertandingan kerana menghubungi ahli keluarganya.
Katanya, beliau dan jurulatihnya, Faizul Harun tiba di lokasi tepat pada 5.55 petang.
Katanya, beliau turut keliru kerana didakwa enggan mengaku lewat tiba di tempat pertandingan.
“Saya pun keliru bila ada orang bertanya kenapa jurulatih saya tidak mengaku sahaja saya lewat, sedangkan saya sendiri telah mengaku kepada isteri saya yang saya lewat 2 minit seperti disiarkan Astro Arena. Ada yang cakap saya lewat sebab sedang sibuk telefon keluarga saya…pening saya.
“Sebenarnya saya tidak lewat. Rupanya ianya salah faham sahaja. Selepas penyertaan saya dibatalkan, saya berjumpa dengan jurulatih saya.
“‘Coach’ saya memberitahu, pengadil mengatakan saya lewat 2 minit, saya menghubungi isteri dan berbual dengan isteri, saya beritahu isteri yang pengadil kata saya lewat 2 minit. Mungkin ini yang salah fahamnya…seolah-olah saya mengaku saya lewat 2 minit kerana sedang bercakap telefon dengan keluarga saya.
Tangkap layar Instagram @ziyadzolkffli yang menjelaskan salah faham mendakwa beliau lewat dua minit kerana menghubungi isterinya.
“Saya nak bagitau semua dan saya yakin yang saya dan jurulatih saya sampai tepat pada waktunya iaitu 5.55 petang…itu saja,” katanya di Instagram hari ini.
Terdahulu, Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94m yang juga rekod dunia baharu.
Beliau diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan, susulan protes pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melaporkan diri di bilik menunggu sebelum pertandingan bermula.
Kontroversi pada hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumumkan sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad sejauh 17.29m di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/06/saya-tak-lewat-sebab-telefon-isteri-saya-tiba-tepat-5-55-petang-kata-ziyad/