Kisah bagaimana si isteri nak bolot semua harta si suami tapi dalam tak sedar komplot pembunuhan ke atas suami pula telah dirakam TV realiti.
Ia terlalu sering berlaku sehinggakan jika ada apa-apa kes bunuh, pasangan mangsa akan menjadi suspek utama sehinggalah bukti lain menunjukkan sebaliknya.
Jadi tak hairanlah jika Dalia Dippolito boleh mengupah orang untuk membunuh suaminya sendiri bagi memulakan kehidupan baru. Tapi apa yang dia tak tahu, perbuatannya ini telah dirakamkan oleh satu rancangan TV popular di Amerika berjudul “COPS“. Jom baca kisahnya!
Dilahirkan di Bandar New York pada 18 Oktober 1982, Dalia Mohammed dan dua adik beradiknya telah dibesarkan oleh seorang bapa yang berasal dari Mesir dan ibunya dari Peru. Keluarga ini kemudiannya berpindah ke Pantai Boynton di Florida apabila Dalia berusia 13 tahun di mana dia telah menamatkan pengajian persekolahannya pada tahun 2000.
Tak tahu kerjaya apa yang mahu dipilih, Dalia telah mengambil lesen untuk menjadi ejen hartanah dan di waktu malam dia bekerja sebagai seorang pengiring. Dari kerjanya ini, dia telah bertemu dengan Michael Dippolito pada tahun 2008. Walaupun telah berkahwin, Mike jatuh cinta dengan Dalia sehingga dia sanggup menceraikan isterinya. Mereka kemudiannya berkahwin pada 2 Februari, lima hari selepas penceraiannya selesai.
Michael Dippolito Kissing Dalia Dippolito 2
Mike Dippolito merupakan seorang bekas banduan yang dibebaskan dan dalam pemantauan polis kerana penipuan saham. Tak lama selepas berkahwin, Mike telah mempunyai beberapa pertembungan dengan polis yang boleh menyebabkan dia masuk semula ke penjara.
Pada satu malam, dia telah ditahan oleh seorang pegawai polis ketika mahu membawa Dalia keluar makan. Polis telah menemui kokain di dalam bekas rokoknya namun melepaskan lelaki ini selepas percaya yang dadah tersebut bukan miliknya.
Pada hari yang lain pula, selepas Dalia memberikan dia kopi dari Starbucks, Mike telah jatuh sakit sehingga terbaring beberapa hari.
Walaupun tiada bukti ditemui, Mike merasa takut sekiranya lambat laun dia akan masuk semula ke dalam penjara sehingga pada penghujung Julai, dia telah bersetuju untuk menukar nama rumahnya ke Dalia bagi melindungi asetnya sekiranya dia ditangkap. Tapi apa yang Mike tak tahu, Dalia merupakan dalang disebalik pertembungannya dengan pihak polis.
Rancangan Dalia untuk membunuh suaminya
Dalia telah merancang untuk membunuh suaminya selama beberapa minggu. Dia telah menelefon bekas teman lelakinya Mohammed Shihadeh bagi mendapatkan orang untuk membunuh suaminya. Namun begitu, Shihadeh sebaliknya telah memberitahu polis tentang rancangan Dalia. Walaupun tak percaya, pihak polis memilih untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Secara kebetulan, program TV COPS ketika itu sedang bekerja di jabatan polis pada minggu tersebut dan bersetuju untuk merakamkan kesemuanya. Mereka telah meletakkan kamera tersembunyi di dalam kereta Shihadeh dan menyuruh lelaki ini untuk bertemu dengan Dalia.
Dalia Dippolito On Hidden Camera
Dalia bertemu Shihadeh pada 30 Julai di tempat letak kereta sebuah stesyen minyak di mana dia memberitahu Dalia bahawa dia telah menghubungi orang untuk membunuh suaminya. Dalia diminta untuk bertemu dengan pembunuh upahan tersebut untuk memberitahu rancangan pembunuhannya.
Tanpa diketahui Dalia, Polis Pantai Boynton telah meminta anngotanya Widy Jean untuk menyamar menjadi pembunuh upahan sekaligus mengesahkan niatnya untuk membunuh suaminya.
Sekali lagi, jabatan polis telah bekerjasama dengan COPS untuk rakamkan pertemuan tersebut yang dibuat di dalam sebuah kereta merah di sebuah tempat letak kereta pada 1 Ogos 2009.
Rakaman penglibatan Dalia terhadap rancangan ini memang tak boleh disangkal lagi kerana ketika pertemuan tersebut, Jean telah bertanya adakah wanita ini yakin mahu membunuh suaminya. Dalia menjawab tanpa ragu-ragu:
Saya takkan ubah fikiran. Saya memang dah yakin. Saya positif, saya 5,000 peratus yakin.”
Dalia kemudiannya memberikan wang sebanyak US$7,000 kepada Jean dan bersetuju untuk pergi ke gym pada pagi Ahad, 5 Ogos bagi mendapatkan alibi pada hari kejadian.
Macam mana polis palsukan tempat kejadian
Pada pagi “pembunuhan”, Dalia telah pergi ke gym pada jam 6 pagi seperti yang dijanjikan. Ketika dia di sana, pihak polis telah memalsukan tempat kejadian di mana pembunuhan sepatutnya berlaku di rumah yang dikongsikan dengan suaminya, Mike.
Apabila Dalia pulang, beberapa polis telah pun berada di depan rumahnya dan pelekat kuning telah diletakkan mengelilingi rumah. Tak cukup dengan itu, terdapat juga jurugambar forensik yang mengambil gambar bukti untuk tunjukkan lakonan mereka lagi real.
Michael Dippolito Kissing Dalia Dippolito 2
Dalia ketika mendengar berita tentang pembunuhan Mike Dippolito itu telah menangis di dalam dakapan polis. Bagi Dalia, segala-galanya telah berjalan seperti yang dirancangnya. Sarjan Paul Sheridan kemudiannya memujuk wanita ini dan membawa dia ke balai polis bagi membantu membuat pengecaman suspek.
Bagi mendapatkan reaksi dari Dalia, Sheridan telah membawa Widy Jean yang telah digari ke dalam bilik dan mendakwa mereka telah menahan lelaki ini ketika dia cuba melarikan diri. Jean yang berlakon seperti penjenayah tertangkap telah menafikan yang dia mengenali Dalia begitu juga dengan wanita ini.
Dalia Dippolito menangis
Kemudiannya, pihak polis mula membuat pendedahan yang mengejutkan. Suaminya, Mike yang disangka telah mati tiba-tiba muncul di pintu sambil mengatakan yang dia tahu semua yang berlaku.
Dalia kemudiannya cuba meyakinkan suaminya yang dia tak tahu apa-apa tentang perkara ini namun Mike mengatakan bahawa dia tak mahu masuk campur urusan Dalia lagi.
Wanita ini kemudiannya didakwa atas kesalahan bersubahat untuk melakukan pembunuhan.
Perbicaraan Dalia Dippolito
Panggilan pertama Dalia dari penjara adalah kepada suaminya. Ketika panggilan tersebut, Dalia bukan sahaja menafikan niatnya untuk membunuh Mike malah turut mengkritik suaminya kerana gagal menyediakan peguam untuknya.
Mike kemudiannya meminta agar nama rumah dikembalikan kepadanya sebagai syarat untuk memujuk ibu bapa Dalia.
Dalia kemudiannya dibebaskan dari penjara dengan jaminan sebanyak US$25,000 keesokan harinya.
Ketika perbicaraan, pihak pendakwaraya mengatakan bahawa Dalia mahu suaminya mati kerana mahu mengawal aset-asetnya. Sementara itu, Dalia mendakwa dia sedar semuanya telah dirakam dan suaminya terdesak untuk menjadi bintang TV realiti sehingga meminta dia untuk membuat perancangan seperti ini.
Ini semua adalah rancangan Michael Dippolito, sama ada dia mahu mengaku atau tidak. Dia berharap dapat perhatian dari seseorang dari rancangan TV realiti. Penipuan Michael untuk mendapatkan kemahsyuran dan wang adalah penipuan yang buruk.”
Bagaimanapun, pihak juri tak percaya dengan cerita Dalia dan wanita ini telah didapati bersalah. Dia telah dihukum penjara 20 tahun namun menerusi mahkamah rayuan pada 2014, mereka mendapati pemilihan juri tidak dibuat dengan betul sehingga kes ini terpaksa dibicarakan semula pada 2016.
Dalia Dippolito dihukum penjara 16 tahun
Orang beritahu saya yang saya bertuah kerana masih hidup. Mungkin. Tapi saya rasa ini semua seperti tak benar kerana saya masih perlu lakukan semua ini dan saya macam tak percaya kita semua masih duduk di sini seperti wanita ini tak pernah cuba untuk lakukan perkara ini.” – Mike
Walaupun terdapat banyak bukti menunjukkan Dalia bersalah, perbicaraan semula ini berakhir dengan juri tergantung di mana tiga dari mereka percaya Dalia tak bersalah dan tiga lagi percaya sebaliknya. Dalia kemudiannya dibebaskan dan perlu menjalani tahanan di rumah dan telah melahirkan seorang anak sebelum perbicaraan terakhirnya pada 2017.
Ketika perbicaraan akhir ini, walaupun hakim percaya yang tindakan pihak pendakwa untuk merakamkan penahanan menerusi COPS adalah tindakan yang salah, dia telah menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadap Dalia pada 21 Julai 2017.
Dalia akan kekal di penjara sehingga tahun 2032.
Baca juga: Seorang isteri jutawan yang berusia 23 tahun dedah dirinya berbelanja RM77,000 sehari di TikTok