Pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan telah dipindahkan dari ICU ke wad biasa, lapor Astro Arena.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, dalam satu sidang media, memaklumkan bahawa walaupun Faisal kini stabil, pelawat masih belum dibenarkan kerana keadaan beliau masih sensitif.
“Alhamdulillah, hari ini Faisal telah dipindahkan dari ICU ke wad biasa. Tetapi masih lagi tidak dibenarkan pelawat kerana keadaan masih agak sensitif tetapi Alhamdulillah Faisal stabil,” kata Shahril.
Beliau turut menyatakan bahawa Faisal telah menunjukkan keinginan untuk makan nasi kandar, yang menunjukkan tanda positif dalam pemulihannya. Faisal kini menjalani diet lembut dan sudah boleh mula makan diet biasa.
Pakar perubatan masih memantau keadaan Faisal dengan teliti, dan pembedahan seterusnya dijangka akan dilakukan pada minggu depan, sama ada pada hari Isnin atau Selasa.
Menurut Shahril, rawatan skin allograft yang dijalankan minggu lalu memberikan reaksi yang baik kepada tubuh Faisal. Pembedahan keempat akan melibatkan penampalan kulit dari bahagian lain ke kawasan yang cedera.
Faisal Halim mengalami kecederaan selepas disimbah asid dalam satu kejadian di sebuah pusat beli-belah di Damansara dua minggu lalu. Insiden tersebut telah mengakibatkan Faisal mengalami kecederaan serius yang memerlukan rawatan intensif dan beberapa pembedahan.
Baca: “Geramnya tengok penuh warga Rohingya guna fasiliti klinik kerajaan”