Saya tidak sikit pun terfikir dipilih jadi calon, ini kisah sebenar calon termuda PRN Melaka

CALON PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Farzana Hayani Mohd Nasir berhasrat meningkatkan capaian internet di Melaka bagi memudahkan pendidikan dan menggalakkan rakyat menceburi bidang keusahawanan secara dalam talian.

Ketua Srikandi Keadilan (PKR) Melaka itu, berkata ia merupakan antara isu yang akan beliau berikan perhatian serius jika menjadi wakil rakyat.

Ia kerana, katanya, sebagai penuntut, beliau tahu bagaimana peritnya gangguan Internet ketika mengulang kaji pelajaran, justeru ia adalah usahanya bagi memudahkan mereka terutama pelajar menjalani pendidikan secara atas talian.

“Sebagai mahasiswi saya sangat pentingkan rangkaian internet kerana pengalaman sebagai pelajar di rumah, ia sangat penting untuk keluarga yang mempunyai anak-anak bersekolah terutama di kawasan Sungai Rambai.

“Saya juga yakin lebih ramai akan terlibat dengan program keusahawanan,” kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan juga lulusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, universiti sama.

Beliau berkata demikian menerusi aplikasi Skype pada rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Dalam pada itu, Farzana, 21, calon termuda Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkata usia tidak menjadi halangan untuk berkhidmat kepada rakyat jika beliau memenangi kerusi (DUN) Sungai Rambai nanti.

Farzana berkata, beliau juga sudah bersedia dan ikhlas untuk mencurah khidmat kepada warga Melaka terutama kepada masyarakat di kawasannya.

“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan dipilih menjadi calon untuk bertanding, namun telah sangat-sangat ‘ready’ (bersedia) untuk membantu rakyat dan masyarakat di negeri Melaka,” katanya.

Calon PKR itu akan bersaing empat penjuru dengan calon PN Muhammad Jefri Safry, Calon BN, Siti Faizah Abdul Azis dan calon Putra, Nazatul Asyraf Md Dom.

sumber : Malaysiapost

COMMENTS