Saya tidur lena sebab tidak pernah tipu rakyat – Najib

Najib Razak mempertahankan dirinya dengan mendakwa tidak pernah berbohong kepada rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan disebabkan itu ia menjadi punca kekalahan Barisan Nasional (BN).

Bekas Perdana Menteri (PM) itu sudah dijatuh hukuman bersabit kes rasuah dana SRC International Sdn Bhd yang kini dalam proses rayuan di Mahkamah Persekutuan, namun beliau berkata kerana bercakap benar yang menyebabkan rakyat tersilap pilih Pakatan Harapan (PH) semasa PRU lepas.

“Pada PRU14, saya ada pilihan. Nak janji syurga dunia yang saya tak tahu dan tak mungkin dapat tunaikan, ataupun saya bercakap benar dan jujur kepada rakyat.

“Saya pilih untuk bercakap benar. Sebab saya tahu sebagai perdana menteri dan menteri kewangan pada ketika itu mustahil nak hapuskan tol seratus peratus, mustahil harga minyak boleh diturunkan RM1.50, mustahil pinjaman PTPTN dihapuskan, BR1M nak berikan RM2,000, kalau GST dihapuskan ganti dengan SST.

“Rakyat perlu mendapatkan apa yang mereka dijanjikan. Maknanya, sebagai perdana menteri saya perlu bercakap benar atau menipu, saya tak sanggup menipu rakyat.

“Akibatnya tak apalah,” katanya semasa majlis bersama pemimpin Parti Makkal Sakthi Malaysia (MMSP) hari ini.

Menurut Najib lagi, sejarah akan membuktikan beliau bercakap benar kepada rakyat, malah mendakwa dirinya tidak mempunyai masalah tidur malam kerana tidak berbohong kepada rakyat.

“Sejarah akan memberitahu bahawa saya bercakap benar dan saya membuat perkara yang betul. Saya boleh tidur lena pada waktu malam. Saya tidak mempunyai masalah untuk bercakap salah kerana saya bercakap benar. Saya tidak berbohong kepada rakyat Malaysia.

“Yang lawan kita itu, mereka pilih untuk berbohong (manifesto PH) dan inilah mesti kita ingatkan, adakah kamu nak mereka kembali memerintah negara ini?

“Ini adalah soalan moral dan soalan etika yang besar, jika mereka boleh berbohong kepada rakyat Malaysia. Mereka sanggup melakukan banyak perkara lain,” katanya lagi.

Untuk rekod, Najib kini sedang menghadapi beberapa pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa di mahkamah.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati dia bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta dana SRC International, serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Penghakiman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara, selepas panel tiga hakim mendengar rayuan Najib.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan Najib menangguhkan sabitan dan pelaksanaan hukumannya sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Selain itu Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.