Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil individu terlibat yang menghantar mesej tersusun dengan mendakwa bahawa tiada majlis tilawah al-Quran di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, identiti mereka terbabit sudah dikenal pasti dan tindakan pengesanan sedang dilakukan.
“Tindakan menyebar fitnah ini sangat jahat bukan sahaja terhadap kerajaan tapi juga membabitkan agama Islam dan institusi Raja.
“Ini peringatan kepada semua, sekali lagi saya sebut seperti kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan pihak MCMC untuk tidak memasukkan bahan atau komen menyentuh 3R (agama, bangsa, raja) kerana kita sudah diminta bertindak lebih tegas oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Langkah pertama (akan diambil) mereka yang terbabit dalam penghantaran mesej tersusun ini akan dipanggil,” katanya dalam sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Kementerian Komunikasi telah mengesan satu hantaran mesej tersusun yang memburukkan kerajaan dengan mendakwa bahawa tiada majlis tilawah al-Quran pada tahun ini.
Semalam, Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), telah menegaskan bahawa dakwaan yang tersebar luas di media sosial adalah tidak benar.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihaknya mengesan hantaran mesej tersusun itu sudah bermula sejak Februari lalu.
“Enough is enough (cukup-cukuplah). Seperti yang dititah Tuanku Agong, saya dan pihak MCMC ‘its time to catch some bees’ (tiba masanya untuk buat kerja),” katanya.