Sebelum kita membasuh ikan keli dengan tepung ada dua tempat tersorok yang perlu dibuang darah beku supaya ikan keli kita tidak hanyir.
Sedia maklum ikan keli merupakan spesies ikan yang paling disukai oleh masyarakat Malaysia selain menjadikan ia sebagai sajian.
Cara mudah untuk menghidangkannya adalah dengan menggoreng ikan tersebut kemudian makan dengan nasi panas, pasit memikat selera.
Pun begitu, sekiranya tidak disiang dengan baik, bau hanyir itu pasti akan melekat walaupun ikan tersebut telah siap digoreng.
Menerusi perkongsian Afy Al habibi di Facebook, dia berkongsi cara untuk menghilangkan bau hanyir itu menggunakan cara siang yang betul.
Tips siang dan hilangkan bau hanyir ikan keli
Pertama sekali, potong di bahagian tengah iaitu perut dan bersihkan lemak serta darah beku yang ada.
Buang semua darah beku yang ada di bahagian tengah itu.
Langkah seterusnya adalah untuk membuang lebihan darah beku yang tersorok.
Bahagian ini agak rumit kerana orang selalu terlepas pandang. Sebenarnya ada satu lagi bahagian yang mempunyai darah beku.
Bahagian tersebut terletak di hujung kiri dan kanan. Gunting sedikit di bahagian yang ditunjukkan seperti di dalam gambar dan buang lebihan darah itu.
Kalau nak tahu, bahagian itu adalah punca sebenarnya ikan keli berbau hanyir walaupun selepas dibersihkan.
Kemudian, basuh ikan keli dua hingga tiga kali bagi menghilangkan darah yang melekat di badannya.
Cara untuk menghilangkan bau hanyir secara keseluruhan adalah untuk rendam dengan tepung gandum.
Masukkan dua sudu besar tepung gandum di dalam air, gaul rata dan biarkan seketika.
Selepas itu, cuci ikan tersebut sehingga bersih.