Sedapnya sekejap menderita hingga habis nyawa, jangkitan penyakit kelamin melonjak, senario Malaysia pun membimbangkan

Sebanyak 2.5 juta kematian setiap tahun direkodkan di seluruh dunia akibat jangkitan virus kurang imun (HIV), virus hepatitis dan jangkitan penyakit kelamin (STI).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan STI semakin melonjak di kebanyakan rantau kerana bilangan kes melebihi sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini.

Pada 2022, negara-negara yang menganggotai WHO menetapkan sasaran untuk mengurangkan jumlah jangkitan sifilis dewasa tahunan sebanyak 10 kali ganda menjelang 2030, iaitu daripada 7.1 juta orang kepada 710,000 pesakit.

Walau bagaimanapun, kes sifilis baharu dalam kalangan orang dewasa berumur 15 hingga 49 tahun meningkat lebih satu juta pada 2022 sehingga mencecah lapan juta.

WHO turut mendedahkan bahawa peningkatan tertinggi kes tersebut berlaku di rantau Amerika dan Afrika.

“Kenaikan (kes) sifilis menimbulkan kebimbangan utama.

“Mujurlah terdapat kemajuan penting dalam beberapa bidang lain termasuk dalam mempercepatkan akses kepada komoditi kesihatan kritikal termasuk diagnostik dan rawatan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Gejala sifilis.

Tambah laporan yang sama, pada 2022, sebanyak 230,000 kematian berkaitan sifilis telah dilaporkan.

Dalam pada itu, jangkitan HIV baharu hanya berkurang daripada 1.5 juta pada 2020 kepada 1.3 juta pada 2022.

Tedros berkata, terdapat 630,000 kematian berkaitan HIV pada tahun yang sama dengan 13 peratus daripadanya melibatkan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun.

Sementara itu di Malaysia, jumlah penduduk yang terpaksa hidup dengan jangkitan HIV sehingga tahun 2022 dilaporkan seramai 69,589 termasuk 3,177 kes baharu yang direkodkan pada tahun itu.

Kerajaan menyifatkan angka berkenaan menunjukkan HIV merupakan suatu permasalahan yang besar kepada negara pada masa akan datang.

Dalam masa sama, kerajaan Malaysia berasakan projek rintis berkenaan penggunaan ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) dapat mengurangkan kadar jangkitan.

Timbalan Menteri Kesihatan (KKM), Lukanisman Awang Sauni pada sidang Dewan Rakyat, 2 Mac 2023 berkata, PrEP mengurangkan kadar jangkitan bukan menggalakkan gejala seksual songsang.

Kaedah pencegahan itu didapati berkesan dan berupaya mengecah jangkitan HIV secara seksual sehingga 99 peratus.

Pada masa ini harga PrEP di klinik atau farmasi swasta agak tinggi sekitar RM90 sehingga RM120 sebotol.

Jelasnya lagi, lebih 77 peratus kes baharu HIV yang dilaporkan setiap tahun terdiri daripada golongan muda berumur antara 20 hingga 39 tahun dan lebih 90 peratus adalah kaum lelaki.

Kira-kira 97 peratus daripada mereka termasuk golongan profesional, berkerjaya tinggi dan pelajar institusi pengajian tinggi dijangkiti melalui hubungan seks bebas sesama jantina.

Kebanyakan kes yang dikesan setiap tahun berpunca daripada amalan seks tidak selamat terutama dalam kalangan golongan homoseksual manakala kurang 10 peratus melibatkan penggunaan jarum suntikan dan jangkitan daripada ibu kepada anak.

Jumlah sebenar penghidap HIV dan AIDS di Malaysia adalah jauh lebih besar daripada angka yang direkodkan kerana masih ramai pesakit malu untuk tampil mendapatkan rawatan berikutan persepsi negatif masyarakat.

BACA JUGA Boleh pula pakar jumpa mikroplastik dalam testis, ini rupanya ancaman terhadap tahap kesuburan