Jangan terkejut bilionair antara paling kaya di dunia, Elon Musk mengaku dia ambil “sedikit ketamin sekali setiap minggu”.
Pengakuan selamba Elon Musk itu ketika diwawancara bersama bekas pengacara saluran berita CNN, Don Lemon yang disiarkan di media sosial.
Bilionair yang pernah dilapor mengumpul kekayaan berjumlah AS$304.2 bilion (RM1.27 trilion) itu menyatakan bahawa tindakannya menggunakan dadah memberi manfaat kepada pelabur Tesla.
Musk mengaku mengambil preskripsi ketamin untuk merawat ‘kerangka minda negatifnya.’
Dadah itu biasanya digunakan untuk merawat kesakitan dan kemurungan.
Taikun berusia 52 tahun itu membuat pengakuan tersebut berikutan laporan media Amerika Syarikat (AS) bahawa penggunaan dadah olehnya telah menakutkan pelabur.
“Ketamin membantu menangani kerangka fikiran negatif,” kata Musk.
Malah, Musk selamba menjawab mengaitkan dengan jualan laris Tesla di pasaran apabila ditanya sama ada penggunaan ketamin boleh memberi kesan negatif kepada persepsi pelabur.
“Kami (Tesla) mempunyai kereta paling laris di dunia pada tahun lepas.
“Jadi, dari sudut pandangan pelabur, jika ada sesuatu yang saya ambil, saya harus terus mengambilnya.”
Musk yang mengendalikan firma SpaceX dan Tesla.
Dia yang juga menguasai platform media sosial X yang nama asalnya Twitter, bagaimanapun menafikan menyalahgunakan ketamin.
Menurutnya, dia menggunakan hanya ‘sedikit ketamin sekali setiap minggu atau lebih kurang begitu’.
Tambah bilionair itu, beliau tidak percaya dirinya tidak mempunyai masalah ‘kemurungan berlanjutan’.
Sebaliknya, Musk mengambil ketamin hanya apabila ‘dirinya berada dalam keadaan negatif.’
Semasa temu bual selama sejam itu, Musk turut membincangkan tentang pertemuannya dengan calon pilihan raya Presiden Parti Republikan, Donald Trump pada bulan ini.