Sejarah tercipta, bangsa cina di Malaysia pertama tamat kursus Komando Gerak Khas

Sejarah telah tercipta, Leftenan Muda Chan Min Youn menjadi satu-satunya penuntut berbangsa Cina yang menamatkan Kursus Asas Komando Gerup Gerak Khas (GGK) baru-baru ini.

Kejayaan beliau menamatkan latihan selama 12 minggu ini telah melayakkannya untuk dianugerahkan Beret Hijau. Selain dianugerahkan Beret Hijau di kepala, beliau juga turut dianugerahkan pisau komando sekali gus bergelar warga Gerup Gerak Khas (GGK).

Perkongsian mengenainya itu telah dimuat naik di laman Berita Tentera Darat Malaysia dan menjadi tular.

Difahamkan, beliau merupakan pegawai daripada Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) sebelum menyertai Kursus Asas Komando GGK pada tahun ini.

Penuntut asal Setapak, Kuala Lumpur itu merupakan graduan perakaunan daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Ketika menerima Beret Hijau dan Pisau Komando, beliau menjelaskan bahawa beliau mahu menjadi seorang pegawai tentera disebabkan minat.

“Saya mahu berkhidmat kepada negara, tuan,” katanya dengan jelas sewaktu Perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando.

Chan (25) juga menjelaskan bahawa dirinya sebenarnya berasal daripada Rejimen 515 Askar Wataniah (AW).

Untuk makluman, Askar Wataniah merupakan pasukan simpanan di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Saya tidak ada pengetahuan pun mengenai komando. Ketika berada di 515 AW, di situlah saya mula ‘berpijak’ dalam dunia ketenteraan.

“Apabila mengenali dunia komando, saya nak cabar diri saya untuk menyertai komando dan tunjukkan kepada diri saya walaupun saya anggota Askar Wataniah, saya pun boleh jadi seorang komando,” ujarnya.

Ketika ditanya berkenaan matlamat, Chan komited untuk terus berkhidmat sebagai seorang komando untuk menambah ilmu pengetahuan secara berterusan.

“Saya berharap dapat terus berkhidmat sebagai seorang komando dan menjadi seorang komando yang berkualiti dan menjaga nama baik komando sehingga akhir hayat saya,” katanya.

Bersama Chan, seramai 69 penuntut telah dianugerahkan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang pada 28 April.

Menurut Berita Tentera Darat Malaysia, perbarisan Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando ini melibatkan sembilan orang pegawai dan 60 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).

Upacara penganugerahan beret hijau dan pisau komando telah disempurnakan oleh Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah.

Dalam penganugerahan itu, beliau mengingatkan kepada semua penuntut agar sentiasa menjaga keagungan beret hijau yang dianugerahkan kepada mereka.

Hal ini kerana, aksesori kepala tersebut merupakan imej Special Forces Operators yang profesional dan terlatih. Beret Hijau juga merupakan lambang maruah dan kebanggaan bagi Gerak Khas.

“Jagalah maruah beret hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia kerana kelak akan merugikan atas segala pengorbanan saudara-saudara semua yang telah bertungkus lumus untuk mendapatkannya.

“Adalah amat malang sekali jika Beret Hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan,” ujar Panglima 21 GGK.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan dalam Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Staf Am 21 GGK, Brigedier Jeneral Ahmad Shuhaimi

baca: “Dulu aku dijadikan bibik, sekarang mak pula terima layanan sama, menantu kesayangan tak boleh disentuh”