Sekelip mata jadi jutawan, duit RM7.4 juta keluar tanpa henti dari mesin ATM

Tanpa pengetahuan pihak bank, seorang lelaki telah berjaya mengeluarkan wang sebanyak RM7.4 juta daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Bergelar jutawan sekelip mata, kejadian tersebut dipercayai berlaku setelah lelaki berkenaan berjaya mengenal pasti ‘kelemahan sistem’ perbankan.

Mengejutkan, kelemahan tersebut mulanya dikesan ketika lelaki berkenaan mahu memeriksa baki akaun miliknya menerusi mesin ATM.

Urusan pemeriksaan baki bagaimanapun tidak berjaya dan mesin ATM tersebut memaparkan mesej ‘baki maklumat tidak tersedia’.

Pemuda itu kemudian terfikir untuk memasukkan ‘kad kredit’ ke dalam mesin ATM untuk memindahkan wang dari kad tersebut ke akaun simpanannya.

Walaupun mesej ‘pemindahan tidak berjaya’ terpapar di skrin ATM, lelaki tersebut tetap berusaha untuk mengeluarkan wang dari akaun kredit itu.

Siapa sangka, percaturannya berhasil apabila mesin ATM tersebut tiba-tiba mengeluarkan wang walaupun transaksi sebelum ini gagal dilakukan.

Menyedari baki akaun bank miliknya langsung tidak terjejas atau berkurangan, lelaki berkenaan bertindak mengulangi perbuatan ‘jenayah’ tersebut.

“Saya sedar ‘kesilapan sistem’ berlaku antara pukul 1 hingga 3 pagi semasa mesin ATM offline dan terputus daripada rangkaian bank,” katanya.

‘Ketagih’ untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM, kehidupan lelaki berubah 360 darjah setelah dilimpahi kemewahan yang tidak terjangka.

Menggunakan wang untuk menganjurkan parti mewah dan menyewa jet peribadi, lelaki itu juga menanggung pembelajaran rakannya ke luar negara.

Tidak tenang selepas beberapa bulan hidup mewah, perasaan bersalah mula menghantui lelaki yang bernama Dan Saunders itu, lapor Utusan Malaysia.

Saunders yang berasal dari Melbourne, Australia itu membuat keputusan untuk berlaku jujur dan membongkarkan rahsianya kepada pihak bank.

Turut menghubungi pihak media untuk mendedahkan perbuatannya, Saunders kemudian dijatuhkan hukuman penjara selama setahun serta 18 bulan kerja sosial.

“Jika orang yang baik tiba-tiba melakukan perkara buruk, tubuh badan anda sendiri akan menolak secara semulajadi.” Ulasnya memetik Utusan Malaysia.

Selepas keluar dari penjara pada tahun 2016 lalu, Saunders meneruskan kehidupan seperti biasa dan kembali bekerja sebagai pelayan bar.

Baca: Umur 59 tak halang Pak Cik Hamdan ambil SPM