Selalu berpeluh semasa tidur, ini 10 sebab mengapa ia terjadi

  • Post author:

Selalu berpeluh semasa tidur, ini 10 sebab mengapa ia terjadi. Night sweats atau berpeluh malam yang biasanya didasari oleh beberapa masalah kesihatan.

Hello Doktor kongsikan beberapa keadaan yang boleh sebabkan peluh ketika tidur di waktu malam.

Tiroid

Berpeluh secara keterlaluan dan menjadi sensitif terhadap haba adalah merupakan antara gejala hyperthyroidism. Kelenjar tiroid berfungsi untuk mengawal metabolisme badan.

Namun apabila terlalu banyak hormon, menjadikan ia berlebihan di dalam badan. Keadaan ini akan menyebabkan suhu badan meningkat.

Gula dalam darah

Jika anda mempunyai diabetes, ia juga boleh menjadi punca tidur berpeluh. Glukosa dalam darah mungkin pada tahap yang baik sewaktu anda masuk tidur. Walau bagaimanapun, ia mungkin akan menurun semasa anda tidur.

Keadaan ini mungkin disebabkan anda mempunyai hari yang sangat aktif atau melakukan aktiviti fizikal pada waktu petang. Jika anda mengambil ubatan seperti insulin atau ubat jenis sulfonylurea untuk mengawal diabetes, ia mungkin penyebab hipoglikemia pada waktu malam yang anda alami.

Tidur apnea

Berpeluh malam yang dialami mungkin disebabkan tidur apnea. Keadaan ini membuatkan pernafasan anda terhenti berulang kali ketika tidur. Apabila badan tidak mendapat oksigen, ia mungkin berada dalam mod ‘fight or flight’. Ia cenderung menyebabkan berpeluh.

Asid refluks

Walaupun tidak banyak kajian menyatakan masalah ini menyebabkan berpeluh malam, tetapi terdapat pakar yang mencadangakn ia mungkin ada kaitan.

Keadaan ini boleh dirawat dengan menghindari perkara-perkara yang boleh mencetuskan asid refluks seperti makan dalam saiz hidangan yang kecil dan elakkan makan sebelum tidur.

Kanser mungkin punca tidur berpeluh

Kebanyakan kanser boleh menyebabkan anda berpeluh pada waktu malam. Kanser limfoma antara penyebab paling biasa.

Satu perempat individu dengan limfoma Hodgkin akan mengalami keadaan berpeluh sewaktu tidur bersama demam sederhana.

Ubat-ubatan

Terdapat ubatan boleh menyebabkan anda berpeluh semasa tidur, antaranya seperti cetaminophen dan NSAIDs seperti aspirin dan ibuprofen.

Sesetengah ubatan untuk glaukoma dan mulut kering juga boleh merangsang kelenjar peluh anda.

Tuberkulosis

Hampir separuh individu dengan masalah kesihatan ini akan mengalami night sweats. Selain berpeluh anda mungkin akan alami batuk yang serius bersama darah dan kahak.

Kebimbangan

Anxiety atau kebimbangan biasanya disebabkan rasa risau, tekanan dan panik dan boleh menyebabkan anda berpeluh pada waktu siang. Keadaan ini juga boleh berlaku pada waktu malam.

Mimpi ngeri dan ketakutan ketika tidur boleh menyebabkan individu yang mengalaminya tidur berpeluh dan jantung berdebar.

HIV

Antara gejala biasa yang dihidapi oleh individu dengan HIV adalah kelenjar limfa bengkak dan kesakitan pada sendi. Namun, seorang daripada 10 individu dengan HIV dipercayai akan mengalami keadaan berpeluh pada waktu malam.

Tumor

Ketumbuhan pada prostat, buah pinggang serta ketumbuhan pada ovari atau zakar, sama ada kanser atau tidak, boleh menyebabkan anda berpeluh malam.

Night sweats adalah antara simptom klasik bagi sindrom carcinoid, kesan kanser yang jarang berlaku yang terdapat dalam sistem pencernaan atau paru-paru.

Keadaan lain:

1. Menopaus – ‘Hot flashes’ satu keadaan yang berlaku sebelum dan selepas tempoh akhir haid juga boleh menyebabkan berpeluh malam.

2. Jangkitan – Jangkitan bakteria juga boleh menyebabkan anda berpeluh sewaktu tidur malam. Adakalanya ia turut mengakibatkan demam.

3. Pheochromocytoma – Tumor yang jarang berlaku ini akan tumbuh di kelenjar adrenal tetapi tidak menyebabkan kanser. Cuma ia mengakibatkan badan anda mempunyai terlalu banyak hormon serta meningkatkan tekanan darah. Ia menyebabkan berpeluh malam selain sakit kepala dan peningkatan kadar denyutan jantung.

Cara mengurangkan peluh ketika tidur:

i. Menggunakan suhu aircond yang lebih rendah dan kipas untuk membantu kitaran udara dalam bilik pastinya dapat memberikan anda tidur yang lebih selesa.

ii. Gunakan cadar yang cepat kering dan hindari memakai pakaian daripada material yang menyukarkan badan untuk ‘bernafas’ seperti fabrik sintetik.

iii. Jika anda masih tidak pasti punca tidur berpeluh yang dialami, sebaiknya dapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut dengan doktor dan pakar perubatan yang bertauliah.

Baca Juga: Tarik rambut sebab migraine tak elok sebenarnya