Kerajaan negeri menggesa pesakit Covid-19 yang sudah sembuh atau waris pada mangsa yang meninggal dunia untuk membuat permohonan bagi mendapat bantuan khas RM1,000.
Exco Kesihatan Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, insentif Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa kedua itu khusus untuk warga Selangor ataupun yang sudah bermastautin di negeri ini melebihi lima tahun.
“Sehingga kini, kita baru menerima 349 permohonan dan 195 individu sudah mendapat manfaat setakat ini.
“Jumlah permohonan agak sedikit kerana kerajaan negeri menghadapi kekangan untuk mendapat data pesakit yang tertakluk dalam akta perlindungan peribadi.
“Justeru, kami berharap bekas pesakit dan ahli keluarga mangsa Covid-19 yang sudah meninggal dunia membuat permohonan segera,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.
Beliau berkata, bantuan khusus itu boleh didaftar melalui pautan www.selangorprihatin.com.
Katanya, pemohon juga perlu menyediakan bukti pengesahan positif Covid-19 oleh hospital, klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar saja.
Dr Siti Mariah berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.8 juta kepada mangsa Covid-19 melalui pakej rangsangan yang diumum pada 1 April lalu.
“Jika permohonan masih kurang sehingga hujung tahun ini, bantuan ini tidak akan diteruskan pada tahun hadapan,” katanya.
sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/602832/rm1000-untuk-pesakit-atau-waris-pesakit-covid-19-di-selangor