Selepas bercinta empat tahun, majlis kahwin jadi mimpi ngeri

Sepatutnya berkahwin setelah bercinta selama empat tahun tetapi lain pula jadinya apabila menjadi mimpi ngeri buat seorang wanita di Tunisia, Lamia al-Labawi.

Dia menceritakan bagaimana ditinggalkan oleh bakal suaminya pada hari perkahwinan mereka gara-gara ibu pengantin lelaki itu.

Bakal ibu mentuanya itu mendakwa Lamia `terlampau pendek dan hodoh’ sekaligus tidak layak untuk mengahwini anaknya.

Akibatnya, perkahwinan wanita yang sedang berlangsung di hadapan para tetamu itu dibatalkan sejurus ibu pengantin lelaki itu meminta dia membatalkan majlis tersebut.

Sebelum ini, ibu pengantin lelaki itu hanya sekadar melihat gambar Lamia, namun dia nampaknya amat kecewa selepas bersemuka, lalu memberhentikan majlis tersebut.

Para tetamu terkejut dengan tindakan pengantin lelaki itu yang menyebelahi ibunya, lapor Oddity Central dipetik Utusan Online.

Lelaki itu kemudiannya meninggalkan Lamia dan pergi bersama ibunya walaupun ramai di majlis perkahwinan itu merayu untuk tidak berbuat demikian.

Warganet mengecam tindakan pengantin lelaki berkenaan dengan menganggapnya bukan lelaki yang sejati.