Selepas didesak, akhirnya kerajaan buat keputusan isu doktor kontrak

Kerajaan hari ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak semua pegawai perubatan terlibat selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata dia juga telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan untuk merangka pelan komprehensif dan inklusif bagi menangani isu yang timbul sebelum ini.

“Ia merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek sederhana dan pelan jangka panjang.

“Sebagai langkah penyelesaian segera, kabinet bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

“Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/584176