Penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura tampil membuat penjelasan selepas dikecam gara-gara bertanyakan ‘siapa Rafah?’ kepada pengikutnya dalam Instagram (IG) Live, 14 Mei lalu.
Dalam masa sama, pelantun lagu “Bukan Wanita Sempurna” itu memberitahu dia juga menyumbang kepada tabung Palestin tetapi tidak dihebahkan.
“Saya fikir perkara kecil ini jadi viral tanpa tahu apa sebenarnya yang terjadi pada pihak saya. Sangat mudah untuk orang lain sunting dan potong video itu hingga viral.
“Saya tidak berniat sakiti sesiapa pun. Saya tahu apa yang sedang berlaku di Palestin dan saya juga sudah banyak menyumbang, tetapi apabila kita buat benda amal ini, tidak perlulah kita hendak war-warkan sangat.
“Benda itu semua datang dari hati. Saya ada lakukan sesuatu bersama Dee Jangan Ketawa, Ramadan lalu, sumbangan kepada tabung Gaza dan beberapa lagi bersama rakan-rakan ‘designer’.
“Jadi, saya di sini bukan nak menyatakan saya bantu sumbang kepada tabung Palestin, tetapi kita sebagai manusia, ada hak untuk melihat sesuatu perkara pada kedua-dua belah.
“Kita harus lihat dan selidik dahulu sebelum kita mengatakan benda yang tidak baik,” katanya dalam hantaran IG, malam tadi.
Ning atau nama sebenar, Ning Baizura Sheikh Hamzah, 49, mendakwa tidak berniat mempersendakan situasi mahu pun tempat yang disebut sebagai Rafah.
“Memandangkan sekarang saya sedang viral, saya fikir, tidak patut hanya berdiam. Saya akui perlukan masa untuk berfikir mengenai apa yang berlaku.
“Niat saya pada sesi IG Live yang juga sesi karaoke bersama peminat pada hari itu, hanya mahu menghibur dan mengenali dengan lebih rapat peminat saya.
“Ramai meminta lagu dan memberi komen. Ketika saya membuat IG Live itu, sayalah penyanyi, sayalah moderator, saya pasang lampu dan menyusun banyak kerja lain.
“Jika anda ada peluang untuk tonton keseluruhan video itu, mungkin anda tahu apa yang berlaku. Saya ada kongsi video itu di IG saya. Anda boleh tengok sendiri apa yang sebenarnya terjadi.
“Pada masa sama, peminat meminta lagu-lagu, saya baca komen dan saya sedang bercakap mengenai nama. Kenapa nama awak susah sangat, ada tak nama senang untuk saya panggil?
“Ketika itu, ada suatu komen keluar. Saya beri reaksi sebegitu dan saya sebut ‘who’s that’ (siapa itu) bukan ‘what’s that’ (apa itu).
“Saya tidak bermaksud untuk mempersendakan situasi atau tempat,” jelas penyanyi dan juga pelakon itu.
Sebelum ini, Ning dihujani kecaman orang ramai kerana dilihat tidak tahu menahu kezaliman zionis Israel di Rafah.
Cemuhan tercetus apabila Ning yang membuat siaran langsung di IG membaca komen pengikutnya yang menulis ‘All Eyes on Rafah’.
“All eyes on Rafah… Who’s that?” kata Ning ketika membaca komen berkenaan.
BACA JUGA Apa motif serang balai polis jam 2 pagi? Ini nasib 3 anggota akibat perbuatan lelaki bertopeng