Selepas diserang pelajar di media sosial, hari ini Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad memohon maaf di atas apa kesulitan yang sedang dihadapi oleh pelajar ekoran tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan pendaftaran pelajar baru dan lama serta merta.
Katanya, peningkatan kes berkenaan adalah di luar jangka bahkan kementerian telah berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan pandemik.
“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.
“Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini,” katanya.
Katanya, kepada pelajar yang sudah tiba, boleh terus kekal di kampus dan nantikan arahan seterusnya oleh pihak Universiti.
“Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke Universiti.
“Akhir sekali, saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama-sama membendung penularan wabak Covid19 ini,”katanya.
Ekoran KPT membuat keputusan pendaftaran pelajar IPT ditangguhan di saat akhir, Noraini menerima kecaman bertalu-talu dalam kalangan pelajar malah ia menjadi ‘trending’ di Twitter dengan tanda pagar “Menteri KPT Sila Letak Jawatan”.
Ramai pelajar melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu kerana ada dalam kalangan mereka terpaksa mengeluar perbelanjaan ribuan ringgit untuk membeli kelengkapan, sewa rumah, pengangkutan sebelum masuk ke kampus.