Selepas gagal dalam piala AFF Suzuki, Tan Cheng Ho letak jawatan

Tan Cheng Hoe telah meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Seperti yng dipetik oleh Malaysiakini, Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, ia susulan kegagalan skuad kebangsaan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, yang baru berakhir semalam.

“FAM hari ini ingin memaklumkan bahawa ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya.

“Cheng Hoe telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM dan menyatakan hasratnya itu berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

“Selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harimau Malaya menamatkan saingan Piala Suzuki AFF 2020 sekadar di tempat ketiga Kumpulan B dengan mengutip enam mata.

Skuad negara hanya pernah merangkul kejuaraan dalam kejohanan itu pada edisi 2010.

Dalam pada itu, FAM mengucapkan penghargaan kepada Cheng Hoe atas khidmatnya selama 14 tahun, bermula sebagai penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005.

“Antara kejayaan yang diraihnya ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada K Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

“Jasa dan sumbangannya akan sentiasa dikenang. Selamat maju jaya kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,” kata Mohd Saifuddin lagi.