Selepas kes melonjak, KJ bagi amaran pada individu tak ambil dos penggalak

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Susulan kes positif Covid-19 yang meningkat ketara bulan Februari 2022 ini, Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin memberi peringatan kepada orang ramai agar cepat-cepat mengambil dos penggalak.

Dalam sidang medianya petang tadi, beliau berkata, individu yang belum divaksin (dos penggalak) adalah 9 kali lebih berkemungkinan untuk dijangkiti dan 62 kali lebih berkemungkinan kematian akibat Covid-19 berbanding individu yang telah lengkap vaksin atau telah mengambil dos penggalak.

Kes baharu Covid-19 dilaporkan pada 1 Feb; 5,736 kes pada 2 Feb 2022; 5,720 kes pada 3 Feb; 7,234 kes pada 4 Feb; 9,117 kes pada 5 Feb dan 10,089 kes pada 6 Feb.

Hari ini, bilangan kes COVID-19 positif yang dilaporkan adalah sebanyak 11,034 kes.

Menurut Khairy, dos penggalak memberi perlindungan daripada jangkitan Covid-19 terutama sekali komplikasi teruk.

Katanya, KKM amat mengalakkan penduduk Malaysia untuk mendapatkan dos penggalak dengan seberapa segera bagi melindungi diri, keluarga dan negara terutama dengan peningkatan kes yang mendadak berkaitan
dengan varian Omicron.

“Risiko jangkitan teruk juga adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas. Daripada 32,034 kematian sehingga 6 Feb 2022, sebanyak 18,362 atau 57.32% melibatkan warga emas.

“Sehingga kini, terdapat lebih kurang 32% atau 1 juta warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kes Covid-19 bukan sesuatu yang luar jangka kerana situasi ini disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak.

Peningkatan kes juga disaksikan di negara-negara lain di seluruh dunia termasuk Singapura.

Bagaimanapun, menurut Khairy kebanyakan kes meningkat ini merupakan kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan, dalam kategori klinikal 1 dan 2.

“Daripada jumlah kes pada Minggu Epid 5, sebanyak 42,727 (99.2%) adalah kategori 1 & 2; dan hanya 335 (0.8%) adalah kategori 3 hingga 5.

“Pada Minggu Epid 5, jumah kes kematian akibat COVID-19 adalah 68 kes, iaitu penurunan sebanyak 8.1% berbanding Minggu Epid 4.

“Manakala bilangan kes ICU adalah 91 kes, pengurangan 17% berbanding minggu sebelumnya,” katanya lagi.