Selepas lama berdiam, akhirnya MP Pas bersuara di parlimen isu cabutan judi 22 kali

Selepas lama berdiam, akhirnya MP Pas bersuara di parlimen isu cabutan judi 22 kali

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) menggesa kerajaan supaya melakukan apa cara sekali untuk mencari sumber pendapatan baru dan membatalkan cadangan menaikkan cabutan khas judi pertaruhan kepada 22 kali sepanjang tahun ini.

Bercakap semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)(Pindaan) 2021, katanya, peningkatan jumlah cabutan khas itu tidak memberikan sebarang faedah kepada rakyat.

“Buatlah apa saja untuk mencari pendapatan yang baharu tetapi saya mohon kepada kerajaan batalkan semula kerana ia tidak memberikan isyarat baik.

“Berapa sangatkah wang yang diperoleh daripada kenaikan ini untuk kita serapkan kepada perbelanjaan Kumpulan Wang Disatukan yang akhirnya tidak mengundang keberkatan dalam perbelanjaan negara.

“Saya mohon supaya kerajaan umumkan diturunkan semula, dibatalkan kenaikan judi ini supaya akhirnya kita ini tidak mengundang kemurkaan daripada Allah SWT,” katanya.

Sebelum ini, pentadbiran persekutuan Pakatan Harapan mengurangkan jumlah cabutan khas tahunan dari 22 kepada 11 pada tahun 2019, dan jumlah itu dikurangkan kepada lapan pada tahun 2020. Selain itu terdapat tiga cabutan “biasa” dalam seminggu.

Cabutan khas pertama kali diperkenalkan pada tahun 1999 untuk mengumpulkan dana bagi membantu mangsa virus Nipah.

Namun, pemerintah Perikatan Nasional (PN), yang mengambil alih dari Pakatan Harapan, dilaporkan menaikkan semula jumlah cabutan khas menjadi 22.

PAS adalah anggota kerajaan PN dan juga adalah sebahagian daripada pemerintahan semasa yang diterajui oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub.

Naib presiden parti itu, Idris Ahmad adalah menteri di jabatan perdana menteri (agama Islam) manakala pemimpin Pemuda PAS, Ahmad Marzuk Shaaru adalah timbalannya.

Tambahan cabutan khas itu disahkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 20 September.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/594965

COMMENTS