Najib dedah dokumen harta diperoleh Tun M dan ahli keluarga. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan sudah tidak mahu apa-apa daripada kerajaan sebagai balasan selepas sembilan tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, keputusan itu susulan tidak mahu imbuhan yang sepatutnya menjadi haknya sebagai bekas pemimpin negara terus dipertikaikan oleh pihak tertentu terutama Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya pun dah tak mahu apa-apa sebab kamu (Dr Mahathir) asyik meroyan.
“Jika saya atau keluarga saya pernah menerima apa-apa tanah dari kerajaan, sila ‘Atok’ dedahkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut laporan Malaysia post, Ahli Parlimen Pekan itu, turut meminta Dr Mahathir mendedahkan sekiranya ada apa-apa kurniaan tanah kerajaan yang diterimanya dan keluarga.
Najib berkata, tawaran pemberian tanah kerajaan kepadanya yang dikatakan bernilai RM100 juta pula sudah ditolak dan beliau meminta kerajaan menjual tanah tersebut.
“Dan sekiranya benar-benar bernilai RM100 juta, sila masukkan dalam tabung untuk disalur sebagai pinjaman tanpa faedah bagi 20,000 penerima dengan nilai RM5,000 seorang.
“Apa yang saya dapat sekarang selepas sembilan tahun berkhidmat sebagai PM dan menaikkan nilai simpanan negara dari RM800 billion ke RM2 trilion?” soalnya.
Menurutnya, dana RM642 juta yang diterima dari Kementerian Kewangan Arab Saudi secara peribadi seperti disahkan mahkamah, juga diberikan sepenuhnya untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan rakyat.
Najib sebaliknya mempertikaikan apa yang diperoleh Dr Mahathir serta keluarganya daripada kerajaan dan akan mendedahkannya satu persatu.
Menurutnya, ia termasuk pajakan tanah di Pulau Langkawi dan di Putrajaya dengan harga didakwanya murah serta kawasan pembalakan seluas 1,000 hektar.
“Tidaklah saya ‘bayar’ kerajaan untuk dapat tanah tepi pantai seluas 34 ekar di Langkawi untuk tempoh 60 tahun dengan harga pajakan RM3,200 setahun seperti dia. Masa tawaran tanah Langkawi ini diberi, anak kamu Menteri Besar Kedah. Betul?
“Atau anak saya dapat tanah balak seluas 1,000 hektar (2,471 ekar) seperti anak dia. Dan banyak lagi. Nanti kita keluarkan satu-persatu.
“Oh.. tanah Putrajaya yang kamu kata kamu ‘bayar’ kerajaan untuk beli itu, berapa luasnya dan berapa harga yang kamu bayar?” soalnya.
Info Rakyat