Selepas padam gambar di media sosial, tim menteri kesihatan dakwa portal fitnahnya langgar SOP

Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan I, Noor Azmi Ghazali menafikan laporan dua portal berita yang beliau melanggar perintah kawalan pergerakan dengan menerima pengunjung di pejabatnya di Putrajaya pada Rabu.

“Tulisan dan dakwaan dibuat kedua-dua portal tersebut tidak benar sama sekali,” kata pejabat Azmi dalam kenyataan, merujuk Malaysiakini dan MalaysiaPost.com.

Katanya, Azmi menemui sekumpulan individu pada 12 Jan, sehari sebelum PKP berkuat kuasa dan gambar yang dimuat naik ke Facebook ialah pertemuan itu.

Pejabat Azmi menggesa dua portal berita itu menarik balik dakwaan itu.

“Dakwaan yang tidak benar sebegitu boleh memberikan persepsi buruk masyarakat terhadap timbalan menteri dan juga Kementerian Kesihatan.”

Terdahulu, Malaysiakini pada Rabu menyiarkan satu laporan mendakwa Azmi terpalit kontroversi “kerana disyaki ingkar SOP”.

Menurut portal itu, Azmi memuat naik beberapa gambar beliau menerima pengunjung ke Facebooknya pada Rabu, dengan keterangan “Kementerian Kesihatan Malaysia. Kunjung hormat sahabat Parlimen ke Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan I” kira-kira 1 tengah hari tadi.

“Ia dipadam daripada laman Facebook kira-kira 9 malam,” menurut laporan itu yang mendapati catatan terbabit tidak menyatakan secara khusus bila pertemuan itu berlangsung.

Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan dikenakan PKP selama dua minggu mulai Rabu, susulan lonjakan kes Covid-19.

Selain Wilayah Persekutuan, lima negeri turut terbabit dalam pelaksanaan PKP, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah.

Antara SOP ditetapkan ialah mesyuarat secara bersemuka di agensi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan, serta majlis rasmi dan tidak rasmi juga dilarang.

sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/14/itu-gambar-sehari-sebelum-pkp-kata-timbalan-menteri/