Selepas berlarutan lapan bulan pembunuhan kejam dilakukan pengganas nombor satu dunia, kempen boikot produk berkaitan negara haram itu khususnya di Indonesia semakin ganas.
Tiada lagi berbasa-basi atau nasihat hikmah, pelanggan yang masih selamba singgah di kedai minuman Starbucks di Indonesia dihalau bahkan dipukul.
Hal itu terbongkar selepas tular satu klip video memaparkan sebuah kumpulan pro-Palestin bertindak melakukan kekerasan di Starbucks di Indonesia.
Kejadian berlaku di kafe Starbucks Jalan AP Pettarani, Kota Makassar dalam wilayah Sulawesi Selatan kelmarin.
Berdasarkan rakaman yang dimuat naik di Instagram oleh akaun @makassar_iinfo, kumpulan itu menghalau pelanggan yang berada di kafe tersebut.
Malah, lebih menyesakkan dada apabila kumpulan itu dilaporkan memukul seorang pelanggan.
“Seorang pelanggan dipukul oleh seorang individu dalam kumpulan itu sebelum mereka beredar,” kata keterangan yang disertakan bersama klip video.
Sementara itu, jurucakap pihak berkuasa tempatan, Mustari Alam berkata, mereka telah menerima aduan tentang kejadian itu.
“Kumpulan itu melakukan protes di semua kedai termasuk restoran makanan segera KFC,” katanya.
Bantahan keras itu dilakukan bagi mengajak orang ramai memboikot semua produk dan jenama Barat.
Insiden tersebut masih dalam siasatan, namun tiada laporan polis dibuat mengenai insiden pukulan tersebut.
BACA JUGA Suami siap berzikir gara-gara gayat, ramai kecam hingga perakam video tampil bersuara