Tahukah anda? Ungku Aziz amat peduli soal bahasa, pendidikan dan ekonomi masyarakat Melayu?
Semuanya saling berkait tetapi sayang seribu kali sayang ramai Melayu kelas menengah dan elitis mulai pertengahan era 1990-an lagi buat-buat bodoh saling kaitan antara tiga perkara itu.
Terhegeh-hegeh ucap takziah kepada Pak Ungku tapi dia yang membunuh segala usaha yang dirintis Pak Ungku!
Pak Ungku amat peduli dengan masyarakat desa dan kemiskinan. Beliau buat kajian mengenai pekebun kecil Melayu di seluruh Semenanjung.
Selain dilantik sebagai Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang pertama, Pak Ungku mengasaskan Pusat Asasi Sains di UM pada 1977 untuk membantu golongan Bumiputera yang miskin.
Walaupun Pak Ungku dulunya selalu disalah anggap sebagai ‘mat saleh’ tapi beliau paling percaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains, teknologi, matematik dan ekonomi.
Walau lahir dalam keluarga bangsawan dan celik mata di London tetapi jiwanya berpasak teguh di tanah air ini. Beza pula dengan generasi lepas merdeka kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya.
Ramai daripada mereka yang menghirup udara dari hutan belantara di bumi Malaysia ini memiliki jiwa bertaraf abdi tahap infiniti penyembah orang kulit putih – bukan mengambil nilai baik tetapi tamak haloba, salah guna kuasa, rasuah dan meracun segala benih perjuangan ‘jihad ekonomi’ demi masyarakat marhaen yang disemai Pak Ungku dan tokoh-tokoh seangkatannya.
Pak Ungku percaya pendidikan dalam bahasa Melayu akan meningkatkan sosio-ekonomi dan mobiliti sosial masyarakat di negara ini.
Sayang sekali, iltizam Pak Ungku melestarikan bahasa kebangsaan juga ekonomi rakyat dikhianati tahun demi tahun dikhianati.
Bermula dari kertas kerjanya, “Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji” pada 1959, tertubuhlah Tabung Haji yang kemudiannya cuba dicontohi negara lain.
Namun, institusi yang diwujudkan atas ilhamnya jadi lubuk duit sesetengah (bukan semua) elit politik yang bertopengkan sentimen sempit Melayu.
Mulai tahun 2004 juga, pengajaran di Pusat Asasi Sains UM dikendalikan sepenuhnya dalam kuliah, tutorial dan kelas amali guna bahasa Inggeris.
Langkah itu susulan pelaksanaan tergesa-gesa PPSMI oleh ‘tokoh’ yang masih hidup kini yang sejak dulu memang hobinya mencanangkan Melayu bangsa pemalas. Padahal, yang lebih tepat kelas elit, golongan bangsawan Melayu yang ramai malas dengan bergantung kepada tongkat bernama nepotisme dan kronisme.
Tak macam Pak Ungku, mereka yang dah senang mengulit kekayaan malas bersalut akal tertawan jiwa abdi untuk memperkasakan bahasa, budaya, pendidikan dan sosio ekonomi segenap lapisan masyarakat Melayu.
Malah, kuasawan Melayu jugalah ramai bersekongkol dengan taikun rakus menjarah belantara, merosakkan sungai dan segala isi alam.
Dah pegang kuasa puluhan tahun pun, hanya sibuk naikkan gaji dan elaun selain taasub dengan kereta-kereta super mewah.
Jauh bezalah dengan iltizam Pak Ungku yang selama 20 tahun mengemudi UM sebagai Naib Canselor sejak tahun 1968 itu. Banyak jasa baktinya kepada masyarakat Melayu dan tanah air ini.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Pak Ungku dan menempatkan Allahyarham di syurga paling indah. Amin Ya Rabbal Alamin.